BARCELONA, 20 NOV – UEFA telah memberi kebenaran kepada Barcelona untuk bermain perlawanan Liga Juara-Juara di stadium Camp Nou yang sebahagiannya telah dibina semula, kata kelab gergasi La Liga itu, kelmarin.
Berita itu datang hanya beberapa hari selepas Barca mengumumkan kepulangan mereka yang telah lama dinanti-nantikan ke aksi liga di stadium itu, yang telah terjejas akibat kerja-kerja pembinaan, selepas lebih dua tahun.
Juara Sepanyol itu akan menentang Eintracht Frankfurt di Camp Nou pada 9 Disember, lebih dua minggu selepas merasmikan semula stadium menentang Athletic Bilbao dalam aksi domestik pada 22 November ini. Barcelona berkata dalam satu kenyataan, UEFA menerima permintaan itu, memandangkan semua syarat yang diperlukan telah dipenuhi.
Kepulangan Camp Nou akan menamatkan masalah berlarutan di mana Barcelona berulang kali terpaksa menangguhkan pengumuman pembukaan semula stadium mereka ketika kelewatan pembinaan dan kegagalan mendapatkan lesen keselamatan telah membatalkan rancangan mereka.
Pasukan Catalan itu terpaksa bermain dua perlawanan di stadium latihan Johan Cruyff yang berkapasiti 6,000 orang pada minggu-minggu pertama musim ini selepas gagal mendapatkan permit yang diperlukan untuk Camp Nou, atas sebab-sebab keselamatan.
Sejak itu, mereka telah beraksi di stadium Olimpik dengan kapasiti 55,000 tempat duduk di Montjuic hill.
Barcelona akan membuka Camp Nou menentang Bilbao dengan kapasiti sementara 45,401 penonton, dengan ruang untuk 105,000 apabila peringkat tertinggi siap.
Mereka membuka stadium untuk 23,000 peminat bagi menonton sesi latihan awal November sebagai acara ujian dalam proses pembukaan semula. – AFP


