PARIS, 27 Feb – Badan induk bola sepak Eropah UEFA memulakan prosiding disiplin ke atas Atalanta semalam berhubung teriakan usikan perkauman yang disasarkan kepada pemain Borussia Dortmund Michy Batshuayi.
Penyerang antarabangsa Belgium Batshuayi menuduh beberapa orang penyokong Atalanta menyasarnya dengan katamata berbentuk makian berunsurkan perkauman ketika perlawanan Liga Europa Dortmund menentang pasukan Itali minggu lalu.
Pemain berusia 24 tahun itu yang dipinjam daripada Chelsea, berkata di Twitter Khamis lalu: “Tahun 2018 dan masih kedengaran usikan bersifat perkauman di tempat duduk…biar betul?!”
UEFA berkata Badan Kawalan, Etika dan Disiplin akan mengendalikan kes itu pada 22 Mac ini.
Ia bukan kali pertama peminat Atalanta dituduh telah melemparkan kata-kata makian bersifat perkauman ke atas pemain lawan.

Pada Januari, kelab itu telah dikenakan penutupan separa satu perlawanan selepas pemain Napoli Kalidou Koulibaly menjadi mangsa penganiayaan seperti itu.
Selepas perlawanan Dortmund, presiden Atalanta Antonio Percassi berkata: “Saya akan bersikap terus-terang, saya tidak mendengarnya. Jika ia berlaku, maka saya berasa sedih dan meminta maaf kepada Batshuayi. Ia tidak sepatutnya berlaku.”
Bola sepak Itali telah lama bermasalah dengan jeritan bersifat perkauman daripada penyokong. Pada Januari, pemain tengah antarabangsa Perancis dari pasukan Juventus Blaise Matuidi menjadi sasaran peminat dalam satu perlawanan menentang Cagliari. – AFP