Saturday, July 27, 2024
27.1 C
Brunei

    -

    UEFA umum 21 kem latihan Euro 2024

    BERLIN, 2 FEB – UEFA kelmarin mengumumkan lokasi 21 kem latihan untuk pasukan-pasukan yang menyertai Euro 2024 di Jerman, hanya lebih empat bulan sebelum perlawanan pembukaan di Munich.

    Tiga pasukan terakhir yang beraksi pada kejohanan itu akan disahkan selepas pusingan kelayakan pada Mac. Negara tuan rumah, Jerman akan berpangkalan di bandar Herzogenaurach di utara Bavaria, ibu pejabat pengeluar kit Adidas, setelah berpusat di Berlin untuk Piala Dunia 2006.

    Juara Itali akan berpangkalan di Iserlohn, berhampiran Dortmund, manakala pemenang 2016, Portugal akan mendirikan kem di sebelah biara berusia 800 tahun berhampiran Harsewinkel.

    Naib juara Euro 2020, England akan bertapak di pusat peranginan golf di perkampungan Blankenhain di tengah Jerman, berhampiran Leipzig.

    Pengurus England, Gareth Southgate berkata pada 2023 beliau mahu sebuah lokasi terpencil di mana para pemain boleh membawa keluarga mereka, mengelak berulangnya kekacauan di luar padang yang mengganggu kempen Piala Dunia 2006 Three Lions di Jerman.

    Pasukan pilihan lain, Perancis akan mendirikan kem di bandar barat Paderborn. Garis panduan kejohanan memerlukan setiap pasukan untuk berpindah masuk sekurang-kurangnya lima hari sebelum perlawanan pertama mereka.

    Setiap pasukan dikehendaki menganjurkan sekurang-kurangnya satu sesi latihan awam di kem mereka. Sepuluh bandar tuan rumah telah diumumkan untuk kejohanan itu, dengan perlawanan akhir diadakan di Stadium Olimpik bersejarah di ibu negara Berlin. Perlawanan separuh akhir akan berlangsung di Dortmund dan Munich, selain perlawanan yang diadakan di Cologne, Duesseldorf, Frankfurt, Gelsenkirchen, Hamburg, Leipzig dan Stuttgart. – AFP

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sri Lanka adakan pilihan raya presiden pada 21 September

    COLOMBO, 26 JULAI – Suruhanjaya Pilihan Raya Sri Lanka mengumumkan pada Jumaat bahawa pilihan raya presiden negara itu akan diadakan pada 21 September, lapor...