Pelakon Nabila Huda pilih mengabaikan ugutan diterima daripada individu tidak dikenali di media sosial memandangkan ia belum ke tahap membimbangkan.
Nabila atau Nabila Huda Suhaimi, 39, bagaimanapun tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan sekiranya ia menganggu keselamatan anak perempuannya iaitu Keisha Laila, 13.
“Isunya hanya sekadar saya memakai kebaya, memang menjadi isu dari dulu sehingga sekarang.
“Kalau saya menjawab ia tidak akan habis, bagi saya orang Melayu ini sepatutnya bersatu.
Sebab itu saya malas nak layan perkara ini.
“Kalau dilayan dan difikir kita pula yang jadi tertekan. Jadi susah nak bergerak ke sana sini.
Takkan kita nak hidup dalam ketakutan pula,” katanya kepada mStar.
Nabila mengulas mengenai perkara itu ketika ditemui pada sidang media program The Masked Singer Malaysia musim keempat yang diadakan pada Rabu lalu.
Cerita Nabila, sebagai ibu dia tentunya bimbang dengan keselamatan anaknya malah tercari-cari kesalahan diri sekiranya pernah menyakiti sesiapa tanpa sengaja semasa menerima ugutan tersebut.
“Saya terus terfikir apa kesalahan yang saya buat. Pernah sakitkan hati sesiapa atau ada musuh ke?
“Kadang kita ini lupa lagi-lagi tingkah laku semasa muda tak ingat kalau ada sakiti hati sesiapa dan lupa minta maaf,” kongsinya. – Agensi