Oleh Hajah Saemah kepli
KUALA BELAIT, 31 Mei – Dengan tema ‘Pembelajaran Adalah Kewajipan Pertama Untuk Difahami’, Sekolah St James telah mengadakan lagi Sambutan Minggu Bahasa Inggeris yang merupakan acara tahunan sekolah tersebut.
Sambutan tersebut telah disertai oleh pelajar-pelajar sekolah tersebut dari Kelas Tadika hingga ke peringkat menengah dan melalui acara itu juga telah memaparkan kefasihan berbicara para pelajar untuk mentafsirkan makna tema melalui penyelidikan dan pemahaman mereka.
Majlis tersebut telah dimulakan dengan pemecahan makna yang berkaitan dengan tema tahun ini, yang berkaitan dengan pengalaman hidup sebenar yang telah disampaikan oleh Timbalan Pengetua sekolah, Leonardo yang antara lain menerangkan perbezaan antara mendengar dan pendengar.


Antara aktiviti yang diadakan sepanjang Sambutan Minggu Bahasa Inggeris itu termasuklah Peraduan Menulis Karangan, Kuiz Bahasa Inggeris, Pertandingan Berpidato, Menjawab Ayat Melintang, Pertandingan Mengeja, Cabaran Perbendaharaan Kata, Permainan Ayat dan sebagainya.
Sambutan itu diadakan antara lain bertujuan untuk menggalakkan para pelajar berbahasa dan menulis dalam Bahasa Inggeris serta membina kefasihan mereka dalam bahasa tersebut, selain turut mencintainya.
Pengetua Sekolah St James, Haji Muhd Masa Masdi bin Mohd Sa’idun semasa berucap pada majlis perasmian sambutan itu berkata, mendengar adalah sebagai sebahagian daripada perkara penting kepada pelajar dan beliau menyeru supaya para pelajar terus memupuk kemahiran dalam pembelajaran bahasa tersebut.