Thursday, April 25, 2024
24.8 C
Brunei

    -

    Uji kekuatan di Gua Damai

    Oleh Balkish Awang
    Gambar Bernama

    KUALA LUMPUR – Cukup mencabar dan lelah, ditambah pula peluh yang mencurah-curah.

    Itu baru pendakian di sepanjang Bukit Lembah Damai, Batu Caves (Selangor), belum lagi aktiviti meneroka beberapa buah gua yang terletak di Taman Ekstrem Gua Damai dalam keadaan gelap, yang menuntut kekuatan mental dan fizikal memandangkan sudah puluhan tahun penulis tidak melakukan aktiviti lasak sedemikian.

    Inilah pengalaman paling mencabar sewaktu menyertai Program Kembara Media 2023 anjuran Jabatan Penerangan Malaysia, Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) di Selangor dan Negeri Sembilan baru-baru ini.

    Program empat hari dari 8 hingga 11 Mei itu bertujuan menikmati keindahan serta landskap pelancongan yang terdapat di kedua-dua negeri berkenaan.
     
    Cabaran bermula

    Pada hari pertama program, penulis berserta 21 pengamal media yang lain dibawa ke Gamuda Cove, Banting, Selangor dan berpeluang melawat ke tempat menarik antaranya Paya Indah Discovery Wetlands, Goosebumps Rope Course, Cove Aerobar serta Taman Tema Air SplashMania.

    Pendakian bermula sekitar pukul 10 pagi di Lembah Damai ditemani beberapa petugas Wira Adventure Consultant yang bertanggungjawab memastikan pendakian berjalan lancar.
    Antara aktiviti lasak yang boleh dilakukan di sana.

    Seramai 21 pengamal media bergambar berlatarbelakangkan Bukit Lembah Damai, Batu Caves sewaktu menyertai Program Kembara Media 2023 anjuran Jabatan Penerangan Malaysia, Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) di Selangor dan Negeri Sembilan baru-baru ini.

    Cabaran sebenar kami bermula pada hari kedua ketika tiba di Gua Damai Extreme Park.
    Berkeluasan kira-kira dua hektar dengan ketinggian mencecah 100 meter, lokasi ini mempunyai lima gua di dalamnya iaitu Gua Kristal, Gua Anjing, Gua Chili Padi, Gua Ichibawa dan Gua Fig Tree.

    Bagaimanapun, hanya empat gua dibuka kepada umum sementara Gua Kristal hanya dibuka kepada pengkaji serta pelajar untuk menjalankan kajian.

    Sebelum pendakian bermula, pihak media terlebih dahulu menyaksikan aktiviti payung terjun oleh penerjun profesional, Akmal Jamal Hassan.

    Pendakian penulis dan rakan-rakan yang bermula sekitar pukul 10 pagi di Lembah Damai ditemani beberapa petugas Wira Adventure Consultant yang bertanggungjawab memastikan pendakian kami berjalan lancar.

    Sepanjang pendakian di dalam hutan itu, kami diperkenalkan oleh petugas dengan beberapa tumbuhan dan herba yang terdapat di kawasan sekitar, antaranya, Tongkat Ali Hitam (Polyalthia Bullata), Ubi Gadong (Dioscorea Hispida), Sehelai Setahun (Monophyllaea Glauca), Derhaka Mertua (Plumbago Indica), Ubi Kekek (Amorphophallus Paeoniifolius) serta Akar Patawali (Tinospora Crispa).
     
    Kekuatan fizikal

    Laluan semasa di dalam hutan memerlukan kekuatan fizikal kerana kami perlu memanjat, kemudian turun dan naik semula di samping di kiri dan kanan trek laluan dipenuhi pokok dan belukar.

    Ada ketikanya penulis perlu menunduk kerana dihalang ranting pokok dan supaya peserta tidak terjatuh, tali disediakan bagi memudahkan perjalanan. 

    Lebih mencabar, penulis terpaksa menggelongsor untuk turun kerana laluan yang basah dan licin serta bimbang terjatuh jika terus menuruni bukit dengan berjalan.

    Pendakian di Lembah Damai yang mengambil masa kira-kira satu jam lebih itu membuatkan kasut kami disaluti selut tanah selain pakaian juga turut kotor berlumpur.

    Walaupun berasa penat dengan aktiviti mencabar ini namun sikap saling menyokong dan kerjasama antara satu sama lain membuatkan semua peserta akhirnya berjaya tiba di permukaan gua.

    Bagi penulis yang bertubuh kecil, rasa gementar mula menyelubungi diri sebaik kaki melangkah masuk ke dalam gua untuk turun ke bawah berikutan keadaan gua yang curam dan gelap gelita.

    Episod pendakian kami diteruskan dengan memasuki Gua Fig Tree dengan setiap peserta lengkap mengenakan peralatan keselamatan seperti topi , abah-abah serta lampu suluh kepala.

    Usai menuruni Gua Fig Tree, kami menyusuri pula gua yang pertama di dalamnya dikenali sebagai Gua Batik kerana teksturnya yang menyerupai batik, yang terletak di sebelah kiri.

    Perjalanan turun ke bawah mengambil masa kira-kira 45 minit menjadikan keseluruhan penerokaan di Gua Damai ini lebih kurang dua jam. 

    Penat lelah semasa menuruni gua hilang apabila kami semua dijamu dengan nasi upah-upah iaitu makanan tradisional etnik Mandailing.  Nasi dihidangkan di dalam dulang dengan lauk antaranya ayam masak berkuah dan udang. Meskipun menyelerakan namun penulis lebih banyak minum kerana terlalu dahaga.
     
    Minat sukan lasak

    Menurut Pengasas yang juga Pengurus Taman Ekstrem Gua Damai Mustapha Al-Bakri yang menetap di Kampung Wira Damai, beliau mula meneroka gua itu selepas mendapati ia mempunyai tarikan pelancongan serta berpotensi dibangunkan untuk aktiviti sukan lasak.

    Bermula pada tahun 1997 dengan modal sendiri sebanyak RM100,000 dan ketika masih bekerja sebagai tukang rumah, setiap hari selepas tamat kerja pada waktu petang Mustapha akan ke gua itu untuk membersihkan batu di sekitar gua serta membuat laluan bagi aktiviti pendakian dalam hutan dengan dibantu kumpulan belia kampung kawasannya.

    “Gua Damai mula dibuka kepada orang ramai pada tahun 1998 semasa itu pendaki masih sedikit. Apa yang membuatkan saya ingin bangunkan tempat ini selain depan rumah sahaja, ia kerana minat mendalam terhadap aktiviti sukan lasak serta membolehkan pengunjung menikmati perkara sama,” katanya kepada pemberita sewaktu ditemui pada program itu.

    Mustapha yang kemudian berkhidmat sebagai Jurulatih Rekreasi Tahap 3, bersama Kementerian Belia dan Sukan Malaysia sehingga kini berkata, tempat berkenaan disewa dengan Majlis Perbandaran Selayang sebanyak RM700 sebulan.

    Beliau bagaimanapun menzahirkan rasa sedikit kecewa apabila masih terdapat penduduk sekitar yang tidak mengetahui akan kewujudan Sukan Ekstrem Gua Damai biarpun sudah lebih 25 tahun beroperasi.

    “Penduduk terdekat ramai yang tidak tahu. Mereka lalu sahaja tetapi mereka tidak tahu di gua ini boleh dilakukan aktiviti menarik bersama keluarga serta rakan-rakan.

    “Saya harap lebih ramai pelancong tempatan tidak kira dari Selangor serta seluruh Malaysia untuk datang melawat Gua Damai kerana destinasi ini adalah hub sukan ektstrem. Pengunjung tidak perlu pergi jauh selain lokasinya berdekatan dengan Kuala Lumpur,” katanya. – Bernama

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Korea Utara hantar delegasi ke Iran

    PYONGYANG, 24 APRIL - Delegasi ekonomi Korea Utara peringkat tinggi sedang dalam perjalanan ke Iran, kata media negara Korea Utara pada hari ini, untuk...