Oleh Daniel Lim
BELAIT, 31 OKT – Seramai 16 orang, empat lelaki dan 12 perempuan, telah menunjukkan kemahiran dan bakat mereka dalam pembacaan Al-Quran menerusi Pertandingan Murattal yang berlangsung di Masjid Rancangan Perumahan Negara (RPN), Kampung Pandan, Kuala Belait, hari ini.
Dianjurkan oleh Jawatan-kuasa Takmir Masjid RPN Kampung Pandan dengan kerjasama Pejabat Hal Ehwal Masjid, pertandingan berkenaan dibukakan kepada ahli-ahli jawatankuasa takmir dan jemaah yang berusia 41 tahun ke atas dari masjid-masjid di seluruh Daerah Belait.
Hadir selaku tetamu kehormat bagi menyampaikan hadiah kepada tiga pemenang teratas ialah Penasihat Takmir Masjid RPN Kampung Pandan, Dato Paduka Haji Jamain bin Haji Julaihi. Muncul juara bagi Kategori Lelaki ialah Haji Roslan bin Haji Adnan, diikuti oleh Haji Abdul Rahman bin Haji A Mukim di tempat kedua dan Haji Asmalee bin Haji Saidon di tempat ketiga.
Manakala itu, Datin Hajah Hazizah binti Haji Adam menjuarai Kategori Perempuan dengan Hajah Hamisah binti Haji Pawi dan Hajah Radiahnila binti Amat, masing-masing menduduki tempat kedua dan ketiga.
Antara objektif pertandingan berkenaan adalah untuk meningkatkan lagi pengetahuan dengan menunjukkan dan menguji kemahiran dan bakat mereka menerusi pertandingan sihat.
