Sabtu, 22 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Uji kemahiran etika godam menerusi Cyber Battle

    Oleh Yusrin Junaidi – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 2 OGOS – Pertandingan tahunan Cyber Battle: Capture The Flag (CTF) anjuran ITPSS Sdn Bhd yang dijadualkan kembali berlangsung pada 1 September menjemput para peminat keselamatan siber, pelajar IT dan profesional untuk menguji kemahiran etika penggodaman mereka dalam pertandingan tersebut.

    Pertandingan CTF adalah platform dinamik untuk peserta mengasah kemahiran keselamatan siber selain memperoleh pengalaman berharga.

    Dengan terlibat dalam cabaran dunia sebenar yang intensif, peserta berupaya mengembangkan kemampuan berfikir secara kritis, menyelesaikan masalah dan kerjasama kualiti penting untuk kejayaan dalam landskap digital dan keselamatan siber masa kini.

    Daripada orang yang baru belajar hingga pakar penggodam, peserta akan berpeluang mempelajari teknik baharu, berhubung dengan profesional industri dan mempamerkan bakat mereka.

    Ketua Pegawai Eksekutif ITPSS, Awang Shamsul Bahri bin Haji Kamis berkata, “Kami berasa teruja untuk menganjurkan Cyber Battle sebagai sebahagian daripada Persidangan Keselamatan Siber Brunei tahun ini.

    “Acara ini memainkan peranan penting dalam membangunkan bakat keselamatan siber generasi baharu sambil memupuk komuniti dan ekosistem keselamatan siber yang kukuh di Brunei Darussalam ketika menghadapi cabaran daripada teknologi Cloud, AI dan rantaian bekalan teknologi yang lebih kompleks,” tambah beliau.

    Cyber Battle akan menampilkan pelbagai cabaran yang meliputi domain keselamatan siber termasuk kriptografi, forensik digital, analisis paket, eksploitasi dan cabaran berasaskan web.

    Pasukan yang dinobat juara nanti akan diiktiraf atas bakat luar biasa mereka, dengan menawarkan hadiah wang tunai untuk tiga tempat teratas sebanyak $3,500, $2,500 dan $1,500. Hadiah tambahan akan diberikan kepada pasukan pertama yang menyelesaikan setiap kategori cabaran, membawa jumlah hadiah keseluruhan kepada $9,550.

    Untuk mendaftar dan mengetahui lebih lanjut mengenai pertandingan ini, sila layari www.itpss.com/cyberbattle2024

    ATAS & BAWAH : Suasana semasa pertandingan Cyber Battle 2023 diadakan. – GAMBAR SERAHAN ITPSS
    GAMBAR SERAHAN ITPSS

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda