Uji pandu X-Trail, percuma tonton Mulan

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 9 SEPT – Dengan tayangan filem Mulan yang amat dinantikan oleh ramai penggemarnya di pawagam, Nissan Brunei turut mengadakan kempen uji pandu eksklusif bagi Nissan X-Trail yang akan berjalan sehingga minggu ini di kedua-dua cawangan bilik pamerannya di Beribi dan Kuala Belait.

Berhubungan dengan kisah Mulan, heroin filem berkenaan yang merupakan seorang wanita yang mempunyai watak berani dan kuat, ia menyerupai Nissan X-Trail yang berdasarkan kepada memperkasakan wanita iaitu menumpukan kepada kerjaya dengan sifat yang berdikari, aktif, berkelas dan canggih.

Nissan X-Trail juga merupakan kenderaan yang sesuai untuk seisi keluarga yang inginkan sebuah kenderaan menyeronokkan untuk dipandu bagi kegunaan seharian dan beriadah.

Ia turut mengetengahkan ciri-ciri pemanduan yang selesa, ruang dalaman yang luas, penjimatan minyak dan dilengkapi dengan sistem Nissan Intelligent Mobility Safety di mana semua itu menjadikannya kenderaan SUV yang popular serta pilihan di pasaran.

Sehubungan itu, orang ramai dialu-alukan untuk menguji sendiri keupayaan dan prestasi Nissan X-Trail dengan berkunjung ke bilik pameran yang terdekat untuk menempah slot dengan eksekutif jualan Nissan yang bertugas.

Setelah menamatkan uji pandu berkenaan, para pelanggan akan diberikan baucar wayang percuma selepas memberikan butiran penuh mereka.

Di samping itu, Nissan Brunei juga mengadakan aktiviti media sosial pada tempoh yang sama dengan kempen uji pandu berkenaan di mana 15 peserta bertuah akan berpeluang untuk memenangi barangan Mulan edisi terhad.

Gambar seorang gadis yang berpakaian seperti watak Mulan bergambar di sisi Nissan X-Trail. – Gambar serahan Boustead Sdn Bhd