AMERIKA SYARIKAT – Instagram (IG) mula menguji penggunaan kecerdasan buatan (AI) untuk menentukan sama ada kanak-kanak berbohong tentang umur mereka pada aplikasi itu, kata syarikat induk Meta Platforms baru-baru ini.
Meta telah menggunakan AI untuk menentukan umur pengguna sejak sekian lama, kata syarikat itu, tetapi aplikasi perkongsian gambar dan video itu kini akan menjadi proaktif mencari akaun yang disyaki milik kanak-kanak walaupun mereka memasukkan tarikh lahir yang tidak tepat semasa mendaftar.
Jika didapati salah seorang pengguna menyalahgunakan umur mereka, akaun tersebut akan menjadi akaun remaja secara automatik, yang mana ia mempunyai lebih banyak sekatan daripada akaun dewasa.
Akaun remaja pada dasarnya adalah bersifat peribadi.
Mesej peribadi adalah terhad supaya remaja hanya boleh menerimanya daripada orang yang mereka ikuti atau sudah pun berhubung.
Kandungan sensitif seperti video orang bergaduh atau mereka yang mempromosikan produk kosmetik, akan dihadkan, kata Meta.
Para remaja juga akan mendapat pemberitahuan jika mereka berada di Instagram selama lebih daripada 60 minit dan ‘mod tidur’ akan diaktifkan untuk menutup pemberitahuan dan menghantar respons secara automatik kepada mesej yang dihantar secara langsung dari jam 10 malam sehingga 7 pagi.
Meta berkata ia melatih AInya untuk mencari isyarat, seperti jenis kandungan yang berinteraksi dengan akaun, maklumat profil dan masa akaun itu dibuat, untuk menentukan umur pemilik.
Langkah-langkah yang dipertingkatkan dibuat ketika syarikat media sosial menghadapi peningkatan penelitian tentang bagaimana platform mereka mempengaruhi kesihatan mental dan kesejahteraan para pengguna yang lebih muda.
Semakin banyak negeri di Amerika Syarikat juga cuba untuk meluluskan undang-undang pengesahan umur, walaupun mereka telah menghadapi tentangan dari mahkamah.
Meta dan syarikat media sosial lain menyokong bagi meletakkan tanggungjawab terhadap app stores untuk mengesahkan umur berikutan kritikan bahawa mereka tidak melakukan tugas yang secukupnya untuk memastikan produk mereka selamat untuk kanak-kanak — atau mengesahkan bahawa tiada kanak-kanak di bawah umur 13 tahun menggunakannya.
Instagram juga akan menghantar pemberitahuan kepada ibu bapa dengan maklumat tentang cara mereka boleh mengadakan perbualan dengan anak-anak remaja mereka tentang kepentingan menyediakan umur yang betul dalam talian,” kata syarikat itu. – AP