MANCHESTER, 29 OKT – Ole Gunnar Solskjaer terselamat untuk bertemu Tottenham esok meskipun spekulasi mengenai masa depannya yang tidak menentu di Manchester selepas dimalukan 5-0 oleh Liverpool.
Namun beralih daripada isu mengenai pengurus pasukan, maruah United menjadi pertaruhan dengan pasukan terdiri daripada pemain berkelas dunia dan bernilai harus memberikan respons terhadap kritikan yang dilemparkan beberapa minggu kebelakangan.
Kemenangan besar Liverpool di Old Trafford adalah rekod kekalahan terbaharu Solskjaer setelah hampir tiga tahun membimbing pasukan, namun kebimbangan berterusan untuk Red Devils.
United yang hanya mengutip satu daripada 12 mata yang boleh direbut kini lapan mata mengejar pendahulu Liga Perdana Inggeris, Chelsea selepas sembilan perlawanan. Jangkaan untuk mencabar kejuaraan pertama sejak 2013 seakan berakhir, dengan Chelsea, Liverpool dan Manchester City masing-masing dilihat dalam prestasi yang sukar dikejar.
Keutamaan United adalah memastikan pasukan tidak ketinggalan daripada saingan merebut kedudukan empat teratas.
Kegagalan untuk layak ke Liga Juara-Juara menjadi punca pemecatan pengurus terdahulu sejak beberapa tahun kebelakangan, di mana David Moyes dan Louis van Gaal merasai sendiri pengalaman tersebut. – AFP