Salam semua. Saya ingin meluahkan sesuatu yang sering bermain di fikiran saya iaitu tentang betapa sukarnya menjalani cinta jarak jauh atau orang selalu panggil long-distance relationship (LDR).
Ramai yang berkata bahawa kalau benar-benar sayang, jarak bukan halangan. Tapi siapa yang pernah lalui, mereka pasti tahu jarak itu bukan sekadar kilometer yang memisahkan, tapi juga rindu yang makin berat setiap hari.
Untuk pengetahuan semua, saya sudah mengenali pasangan saya ini sejak kami di bangku sekolah menengah dan selepas menamatkan pengajian di pusat tingkatan enam, pasangan saya pula ditawarkan untuk melanjutkan pengajiannya ke luar negara.
Semasa saya mendapat tahu bahawa dia bakal belajar ke luar negara selama empat tahun, perasaan saya bercampur baur. Adakah saya perlu menghalangnya agar tidak meneruskan hasratnya belajar ke luar negara? Kalau diikutkan hati itulah yang saya mahukan kerana takut hati ini tidak kuat untuk menghadapi LDR.
Saya masih ingat dengan jelas semasa menghantar dia ke lapangan terbang untuk berlepas ke luar negara. Dan kini genap setahun saya tidak bertemu dengannya bersemuka.

Saya rindu padanya. Rindukan suaranya, gelak tawanya, rindu saat-saat kami boleh duduk berdua sambil bercerita tanpa perlu bergantung pada telefon atau panggilan video.
Kadang-kadang, saya penat dengan hubungan ini bukan kerana tidak sayang, tapi sebab rindu yang amat menyesakkan dada.
Tapi dalam setiap kesulitan, saya selalu ingatkan diri bahawa jika cinta ini benar, kita akan tetap bertahan. Jarak hanya menguji sejauh mana kita sanggup berkorban, sejauh mana kita percaya antara satu sama lain.
Dan buat kamu yang jauh di sana, saya nak awak tahu bahawa saya tetap di sini, menunggu sampainya hari apabila jarak tidak lagi menjadi halangan. Hari di mana saya tak perlu lagi mengira waktu untuk bertemu, kerana akhirnya kita akan bersama selamanya. Insya Allah.
Ezra buah hati Aiman
NASIHAT DANG MP
Terima kasih kepada Ezra yang berkongsi kepada pembaca Media Permata. Seperti pembaca lain, Dang MP turut merasa syahdu membaca kisah cinta seperti ini.
Mungkin inilah yang pernah dirasai oleh pembaca-pembaca lain yang pernah mengalami fasa percintaan seperti ini sebagai salah satu episod dalam kehidupan. Dan mungkin ada yang kecundang apabila putus di tengah jalan dengan pelbagai sebab dan tidak kurang juga ada yang berakhir dengan kegembiraan apabila akhirnya disatukan.
Apa yang Dang MP ingin cadangkan adalah teruskanlah berhubung dengannya seperti biasa dengan kemudahan teknologi yang ada seperti mengirim e-mel, telefon, panggilan video dan lain-lain. Serikan lagi pelbagai bentuk komunikasi kalian dengan berutus surat atau mengirim hadiah berupa bungkusan supaya ingatan antara Ezra dan Aiman sentiasa kekal dan segar.
Di samping itu, harus diingat supaya tidaklah selalu berhubung sehingga mengganggu pembelajarannya di sana. Sudah pasti Aiman di sana ada tanggungjawabnya sendiri di sana sebagai pelajar yang memerlukan tumpuan, fokus dan komitmen seperti menghadiri kelas, menyiapkan tugasan, mengulang kaji pelajaran dan sebagainya. Komunikasi yang jelas dan timbang rasa antara kalian berdua amatlah diperlukan untuk menempuh cabaran sepanjang LDR ini.
Dengan hanya berbaki tiga tahun, Dang MP berharap agak Ezra dan juga Aiman sentiasa mampu bersabar, bertimbang rasa dan saling mendoakan dan memberi semangat ke atas diri kedua-duanya. Sentiasalah berfikiran positif supaya akhirnya kisah kalian berdua bakal menjadi antara kenangan paling manis apabila disatukan nanti.