Sunday, November 27, 2022
22 C
Brunei

-

Ujian ‘hempas’ pesawat ke asteroid

HOUSTON, 26 SEPT – NASA akan sengaja ‘menghempaskan’ sebuah kapal angkasa ke asteroid hari ini, kira-kira jam 8 malam waktu tempatan, dalam misi pertama seumpamanya untuk melindungi bumi.

Projek yang dikenali Ujian Pengalihan Asteroid Berganda (DART) itu, dengan sengaja akan menjatuhkan kapal angkasa tersebut untuk melihat sama ada tindakan pemesongan itu mampu menghalang potensi asteroid daripada memusnahkan planet.

“Ia usaha yang sangat rumit. Apa yang kami mahu lakukan ialah menggunakan sebanyak mungkin tenaga daripada DART untuk menggerakkan asteroid,” kata ahli astronomi Alan Fitzsimmons, ahli pasukan penyiasat NASA Dart, dalam temu bual, lapor Agensi Anadolu.

Misi DART dilancarkan November lepas dari Pangkalan Angkatan Angkasa Vandenberg di California.

Pada Isnin, para pengawal misi akan menetapkan kapal angkasa terbabit untuk mengemudi sendiri di angkasa lepas pada jarak 6.5 juta batu (10.5 juta kilometer) dari Bumi. Kamera khas dari kapal angkasa akan merakam perlanggaran kosmik yang tidak pernah dilihat sebelum ini.

Gambar fail bertarikh 4 November 2021, menunjukkan ilustrasi pesawat angkasa DART sebelum menyasarkan sistem perduaan Didymos. – AFP

“DART mengubah fiksyen sains menjadi fakta sains, dan merupakan bukti proaktif dan inovasi NASA untuk manfaat semua.

“Ujian ini akan membantu membuktikan kaedah yang berdaya maju bagi melindungi planet kita daripada asteroid berbahaya sekiranya ia dikesan menuju ke bumi,” kata Pentadbir NASA Bill Nelson dalam satu kenyataan.

Matlamat utama NASA adalah untuk melihat sama ada ia boleh memesongkan laluan asteroid secara manual daripada kemungkinan berlanggar dengan bumi.

“Jika kita berusaha, kita sebenarnya boleh mencegahnya. Itu berbeza de-ngan kebanyakan bencana alam berskala besar yang lain,” kata ketua saintis di Planetary Society, Bruce Betts, dalam satu temu bual.

Kapal angkasa DART akan menyasarkan batu angkasa gergasi (diameter 525 kaki/160 m) yang dipanggil Dimorphos pada kelajuan 15,000 bt sejam (24,140 km sejam).

Matlamat NASA bukan untuk melenyapkan asteroid, namun mahu melihat sama ada perlanggaran itu boleh mengubah orbit batu angkasa.

Menurut agensi angkasa AS, belum ada asteroid lebih besar daripada 450 kaki (137m) melintang dikenal pasti mempunyai peluang besar untuk menghentam planet ini dalam tempoh 100 tahun akan datang.

Oleh itu, walaupun misi DART gagal, saintis akan memperoleh maklumat penting daripada eksperimen ini yang boleh melindungi bumi suatu hari nanti. – Bernama

- Advertisment -

Disyorkan Untuk Anda

Korea Selatan lancar bas pandu sendiri

SEOUL, 25 NOV – Ibu negara Korea Selatan melancarkan laluan bas pandu sendiri pertama hari ini, sebahagian daripada uji kaji yang dikatakan jurutera berhasrat...
- Advertisment -