Wednesday, February 1, 2023
25.4 C
Brunei

-

Ujian menimpa keluarga pendorong kebangkitan

Oleh Nurdiyanah R.
Gambar serahan Dayang Siti Nurul Rabbiah

Di sebalik semangat bekarih, bejarih dan belurih, tiada siapa menyangka pengalaman membantu ibu membuat kuih-muih sebagai jualan menimbulkan minat dalam diri Dayang Siti Nurul Rabbiah binti Haji Jafri untuk menerokai bidang perniagaan sehingga ke detik ini.

Selaku pemilik syarikat makanan dan minuman dalam talian di bawah nama Cravingbn sejak 2018, mengongsikan segala ilmu yang diwarisi daripada ibu tersayang telah banyak mengajar untuk terus berjuang menceburi dunia perniagaan demi meningkatkan sumber pendapatan keluarga.

“Segala tunjuk ajar dan kegigihan yang ibu saya curahkan kepada kami adik-beradik untuk sentiasa berusaha mencari rezeki yang halal sememangnya satu hal yang tetap segar dalam ingatan,” ujarnya yang merupakan salah seorang peserta Program Usahawan Bakarih Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (Yayasan) semasa ditemui penulis, baru-baru ini.

‘Sampai bila mengharapkan perindungan… ’

Berkongsi pengalaman semasa mula-mula menceburi bidang perniagaan, beliau sebenarnya hanya berani mengikuti bidang berkenaan tatkala didampingi oleh ibunya kerana merasa kurang yakin untuk mengendalikan sendiri.

“Semasa mula mengikuti Program Usahawan Bakarih Yayasan sekitar tahun 2018, satu produk jualan yang kami cuba keluarkan pada ketika itu iaitu kuih tradisional bahulu. Namun, segalanya aturan Ilahi di mana pada tahun itu juga ibu saya mengalami sakit strok sehingga sekarang yang membuatkan beliau kurang berupaya untuk melakukan apa saja kerja.

Dayang Siti Nurul Rabbiah tidak pernah berputus asa dalam menceburi dunia perniagaan demi meningkatkan sumber pendapatan keluarga tercinta.
Beliau turut mempelbagaikan sentuhan produk jualannya antaranya udang goreng.
Beliau turut mempelbagaikan sentuhan produk jualannya antaranya udang goreng, mi jawa, pai ayam, dan beraneka jenis biskut.

Antara produk buko pelbagai rasa yang dijual oleh Dayang Siti Nurul Rabbiah.

“Pada saat itu jiwa raga ini terus terbuka seluas-luasnya untuk terus mengikuti program berkenaan lebih-lebih semangat dan kata-kata nasihat yang didorong oleh pihak Yayasan yang sering mengingatkan ‘sampai bila kita mengharapkan ibu bapa untuk menampung hidup kita sendiri dan rebutlah peluang yang ada di depan mata dengan jiwa penuh ketulusan’.

“Ujian yang menimpa keluarga juga tersimpan hikmah padanya sehingga mendidik diri ini untuk lebih yakin dan berusaha mencari rezeki bukanlah semata-mata untuk kepentingan peribadi bahkan yang lebih utama bagi menolong ahli keluarga termasuklah suami dan anak-anak bagi menampung perbelanjaan seharian,” kongsinya.

Sentuhan variasi buko produk utama

Dalam meniti bidang perniagaan, Dayang Siti Nurul Rabbiah sentiasa menitikberatkan produk-produk jualannya yang diminati ramai dan terkini, di mana beliau memfokuskan menjual sejenis minuman buko dengan pelbagai rasa.

“Sebagai usahawan tidak kiralah secara kecil-kecilan mahupun besar-besaran, mestilah memiliki daya kreativiti yang tersendiri khususnya dalam memilih jualan produk yang ingin diketengahkan sehingga mampu menawan hati pelanggan dalam talian untuk menempahnya,” tambahnya yang turut pernah mengikuti kursus di Pusat Pembangunan Belia.

Ibu kepada empat orang anak ini turut mempelbagaikan sentuhan produk jualannya antaranya udang goreng, mi jawa, pai ayam, puding buah dan beraneka jenis biskut.

“Dalam menceburi bidang ini, saya sentiasa berusaha dari hari ke hari untuk sentiasa menimba pengalaman dan belajar untuk memperbaiki meliputi daripada aspek sentuhan produk, pembungkusan dan strategi pengurusan dan pemasaran dalam berjual beli,” ujarnya lagi yang memiliki impian untuk memiliki sebuah kafe untuk menjalan- kan perniagaan dengan lebih selesa.

Hiasi jiwa dengan syukur

Meskipun dunia perniagaan ini tidak terlepas dengan pelbagai cabaran antaranya dari segi kenaikan harga barangan, pembahagian masa dan risiko lebihan hasil produk namun beliau yakin bahawa keindahannya turut dapat dirasai apabila sentiasa menyemai kesyukuran dalam diri diiringi dengan sentiasa berusaha dan bertawakal kepada Allah SWT dalam segala aspek kehidupan.

“Siapa sahaja yang ingin berkecimpung dalam bidang perniagaan, teruskan niat itu dan jangan mudah berputus asa. Tidak dinafikan ketika ini banyak persaingan, walaupun produk sama namun hasil sentuhan seseorang itu pasti memiliki keistimewaan tersendiri.

“Jika kita meniatkan baik terhadap sesuatu segalanya akan menjadi baik, percayalah Allah SWT sudah menentukan rezeki masing-masing namun jangan pula lupa ia juga bergantung kepada tahap usaha kita.

“Terokailah dan kembangkanlah segala idea yang tercetus di minda serta sahutlah peluang sehingga menjadi kenyataan meskipun bermula secara kecil-kecilan,” ucapnya penuh keyakinan.

- Advertisment -

Disyorkan Untuk Anda

Korban bom masjid meningkat lebih 90

PESHAWAR, PAKISTAN, 31 JAN – Pengeboman berani mati yang berlaku di masjid dalam ibu pejabat polis daerah Peshawar dan kawasan kerajaan di barat laut...
- Advertisment -