Monday, December 2, 2024
27.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Ujian penghapus dosa

    Oleh Yusrin Junaidi –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 27 OKT – Setiap daripada kita pasti akan diuji dengan ujian yang berbeza-beza kerana hidup ini adalah satu perjuangan untuk mendapatkan kesudahan yang baik.

    Selagi kita belum sampai ke akhirat yang abadi selagi itulah kita terus berusaha melakukan kebaikan dan meningkatkan amal. Allah SWT sudah memberitahu bahawa kita pasti akan diuji berdasarkan apa yang kita mampu.

    Seperti dalam firman-Nya dalam Surah Al-Baqarah yang bermaksud Allah SWT tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya.

    Antara sebab kenapa ujian Allah SWT diturunkan kepada kita adalah kerana menaikkan darjat keimanan, membimbing hati menjadi baik, dan mengampunkan dosa-dosa.

    Perkara tersebut antara isi kandung tazkirah yang bertajuk Ujian Dari Allah yang disampaikan oleh Timbalan Dekan, Pejabat Hal Ehwal Pelajar, Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), Awang Mohammad Khairul Nazif bin Haji Awang Damit, sempena Program Malam Munajat kali ke-157 diadakan malam tadi secara fizikal dengan tumpuan utama di Masjid Duli Raja Isteri Pengiran Anak Damit, Mukim Kilanas.

    Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin dan Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Abdul Manaf semasa menyertai Program Malam Munajat dari Masjid Duli Raja Isteri Pengiran Anak Damit, Mukim Kilanas, baru-baru ini. – GAMBAR SERAHAN KHEU

    Majlis dianjurkan oleh Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) dengan kerjasama Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP).

    Hadir sama di acara munajat malam tadi ialah Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman; dan Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Abdul Manaf bin Haji Metussin.

    Majlis dimulakan dengan bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah dipimpin oleh Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Abdul Manaf.

    Majlis diteruskan dengan bacaan Surah Ar-Rahman dipimpin oleh alumni Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah (ITQSHHB), graduan Takhassus Al-Quran dan Qiraat, Tahun 2024, Shoubra Al-Azhar, Republik Arab Mesir, Awang Mohamad Sabiq bin Haji Sulaiman.

    Majlis diteruskan lagi dengan Doa Munajat dibacakan oleh Pemangku Penolong Pengarah (Profesional), Jabatan Pengajian Islam, KHEU, Haji Ayop bin Haji Ghani @Gani.

    Majlis disusuli dengan bacaan Selawat Tafrijiyyah beramai-ramai dipimpin oleh pegawai-pegawai dan kakitangan KSSUP.

    Sebelum mengakhiri acara, Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam dibacakan oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid, Masjid Duli Raja Isteri Pengiran Anak Damit, Mukim Kilanas, Jabatan Hal Ehwal Masjid, KHEU, Awang Adee Aiman bin Haji Muhiddin.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda