Oleh Azlan Othman
SARAWAK, 20 OKT – Kerajaan Negeri Sarawak telah bersetuju untuk membiayai sepenuhnya kos ujian swab COVID-19 untuk semua rakyat Sarawak yang ingin melintas sempadan darat Negara Brunei Darussalam yang berkuat kuasa serta-merta, kata Menteri Muda Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Datuk Dr Abdul Rahman Ismail.
ADUN Bukit Kota berkata perkara itu diluluskan kerajaan negeri dalam mesyuarat Kabinet Negeri yang berlangsung baru-baru ini.
“Saya mengucapkan terima kasih kepada Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Abang Openg kerana meluluskan permintaan rakyat Sarawak khususnya masyarakat Limbang dan Lawas supaya kos pemeriksaan dan ujian COVID-19 ditanggung sepenuhnya kerajaan negeri,” katanya kepada media semasa ditemui ketika mengadakan lawatan ke projek benteng tanah runtuh di Kampung Pemukat dan Bukit Kota, hari ini. Turut sama ialah Timbalan Residen Limbang Sebi Abang.
Datuk Dr Abdul Rahman Ismail berkata rakyat Sarawak yang sering melintasi sempadan darat Brunei tergolong penjawat awam, pihak swasta, pengangkut barang keperluan penting. Menurutnya lagi mereka yang ingin melakukan urusan rentas sempadan perlu berhubung dengan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Limbang dan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Lawas sebelum memasuki Brunei menerusi pos sempadan darat dan menjalani ujian swab.
Negara Brunei Darussalam telah menetapkan ujian saringan COVID-19 sebagai syarat untuk memasuki negara itu ke atas semua warga asing termasuk rakyat Malaysia, malah transit rentas sempadan dan juga harus membayar $3 (RM 9.30) untuk caj masuk dan keluar.