Saturday, January 18, 2025
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Ujian SpaceX berakhir dengan letupan

    WASHINGTON, 17 JAN – Beberapa jam selepas Blue Origin, milik Jeff Bezos berjaya melancarkan misi orbit pertamanya, SpaceX kembali mencuri perhatian kelmarin apabila ujian terkini roket mega generasi baharu, Starship, berakhir dengan peringkat atasnya hancur secara dramatik di atas Lautan Atlantik.

    Syarikat milik Elon Musk tidak mengecewakan apabila berjaya menunjukkan keupayaan teknikalnya dengan menangkap penggalak peringkat pertama menggunakan pemegang chopstick pada menara pelancarannya buat kali kedua.

    Namun begitu, kejayaan tersebut hanya bertahan seketika apabila pasukan terputus hubungan dengan kenderaan peringkat atas. SpaceX kemudian mengesahkan bahawa kenderaan tersebut telah mengalami ‘pemisahan tidak berjadual yang pantas,’ istilah yang digunakan syarikat itu untuk merujuk kepada letupan.

    Versi lebih tinggi dan diperbaharui daripada kenderaan pelancar terbesar serta paling berkuasa yang pernah dibina itu dilancarkan dari pangkalan Starbase milik syarikat tersebut di Boca Chica, Texas, pada pukul 4:37 petang waktu tempatan untuk ujian kali ketujuh.

    Kira-kira tujuh minit selepas pelancaran, penggalak Super Heavy yang diperbuat daripada keluli tahan karat berjaya memperlahan-kan kelajuannya daripada kelajuan supersonik, menghasilkan letupan sonik, sebelum turun dengan lancar ke dalam struktur pemegang pada menara pelancaran, yang disambut dengan tepukan gemuruh daripada pasukan kawalan darat.

    Manuver itu pertama kali berjaya dilaksanakan pada bulan Oktober, namun gagal pada bulan November apabila penggalak Super Heavy membuat pendaratan terkawal di Teluk Mexico.

    Tidak lama selepas penggalak mendarat dengan selamat di menara pelancaran, pengumuman dalam siaran langsung web mengesahkan kenderaan peringkat atas telah hilang akibat anomali pendorongan.

    Data daripada penjejak penerbangan FlightAware menunjukkan beberapa pesawat di Lautan Atlantik mengubah laluan berhampiran Kepulauan Turks dan Caicos. Sementara itu, pengguna di platform X berkongsi rakaman dramatik yang didakwa menunjukkan kapal angkasa tersebut berkecai dengan menghasilkan jejak berapi semasa proses kemasukan semula ke atmosfera. – AFP

    Roket Starship dilancarkan untuk ujian penerbangan dari Starbase di Boca Chica, Texas, pada 16 Januari. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda