BANDAR SERI BEGAWAN, 27 Dis – Ujian Tasmie’ Menghafaz Al-Quran Pusingan Pertama Tahun 1439H/2018M akan bermula Februari 2018 depan yang dibukakan untuk warganegara dan penduduk tetap sahaja dan borang permohonan boleh diambil bermula kelmarin.
Pusat Pengajian dan Penyebaran Al-Quran (PPPQ) MABIMS, Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) selaku Urus Setia Lembaga Tasmie’ Menghafaz Al-Quran mengumumkan perkara ini dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini, hari ini.
Borang permohonan boleh didapati di Pejabat PPPQ MABIMS di Blok 2H, Tingkat 8, Bangunan Kondominium Ong Sum Ping (Bangunan Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah Perempuan), Jalan Ong Sum Ping atau muat turun melalui www.pppq-mabims.blogspot.com.
Tarikh tutup permohonan dan penghantaran borang adalah pada 13 Januari 2018. Penghantaran borang adalah semasa waktu pejabat dan tidak lewat jam 4 petang.
Untuk keterangan lanjut mengenainya, orang ramai boleh menghubungi PPPQ MABIMS di talian 2233365/2233364/2237512.