BANDAR BAHARU, 17 NOV – Ujian urin bukan sekadar boleh mengesan dadah yang diambil secara konvensional malah dapat mengesan bahan terlarang yang terkandung dalam rokok elektronik (vape).
Menteri Dalam Negeri Malaysia, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata pengesanan di peringkat awal boleh dilakukan pegawai pemulihan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), khususnya selepas pelaksanaan Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) (Pindaan) 2024 diluluskan Dewan Rakyat Ogos lepas.
Saifuddin berkata dadah yang menjadi ancaman, khususnya dalam kalangan pelajar sekolah bukan lagi jenis konvensional sebaliknya jenis sintetik yang mempunyai pelbagai bentuk serta nama dan dianggap sangat dinamik.
Beliau ditemui pemberita selepas Majlis Peluncuran Kempen Antidadah di Sekolah Peringkat Kebangsaan yang dirasmikan secara bersama oleh beliau dan Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek di Sekolah Kebangsaan Permatang Pasir di Bandar Baharu hari ini. “Kita ada keupayaan, pegawai pemulihan ada kepakaran tersebut (mengesan bahan).
“Kalau dulu proses ujian dan verifikasi (bahan terlarang) semua hanya oleh doktor, tak boleh orang lain.
“Tapi dalam akta penagih dadah yang kita pinda, tugas itu boleh dibuat oleh pegawai pemulihan ADDK namun kita tak ketepikan pegawai perubatan, di Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Puspen) masih ada elemen peranan pegawai perubatan tapi ujian awal itu boleh dilakukan oleh pegawai pemulihan,” katanya. – Bernama