Wednesday, February 5, 2025
23.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Ujian vaksin Ebola Sudan dimulakan di Uganda

    GENEVA, 4 FEB – Uganda memulakan ujian vaksin, kelmarin, untuk virus Ebola Sudan empat hari selepas penularan wabak disahkan, umum Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), bermula dengan individu yang dianggap berisiko tinggi.

    Ketua WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus berkata Kementerian Kesihatan Uganda telah memulakan ujian vaksin terhadap virus Ebola Sudan dengan sokongan agensi PBB itu.

    “Ujian vaksin ini dimulakan dengan kelajuan luar biasa… sambil memastikan pematuhan sepenuhnya dengan keperluan peraturan dan etika antarabangsa dan negara,” kata Tedros di X.

    Beliau berkata ujian tersebut akan melibatkan kontak orang yang dijangkiti dan kontak kepada kontak.

    Ketua WHO itu memuat naik gambar suntikan diberikan dengan pengarah kecemasan WHO, Michael Ryan, hadir di lokasi berkenaan.

    Ujian itu, kata Tedros, “menunjukkan kepentingan pelaburan dalam penyelidikan dan pembangunan untuk vaksin dan rawatan serta kesiapsiagaan tindak balas wabak, serta kerjasama.”

    “WHO akan terus menyokong kerajaan dalam tindak balas komprehensif untuk mengawal wabak ini.” – AFP

    Seorang jururawat memberi suntikan pertama vaksin Ebola Sudan kepada seorang sukarelawan semasa pelancaran kempen ujian vaksin Ebola di Hospital Rujukan Mulago di Kampala pada 3 Februari. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda