BANDAR SERI BEGAWAN, 23 JUN – Pasukan Ujung Tanjung FT telah menjuarai kejohanan bola sepak tujuh orang sepasukan yang telah berlangsung baru-baru ini di Padang Sekolah Rendah Junjongan, Kampung Junjongan, sempena cuti penggal persekolahan.
Sebanyak enam pasukan telah menyertai kejohanan tersebut termasuk Pulau Menangah FT, Pinang 28 FT, Sungai Arut FT, Betumpu FT dan Sungai Si Damit FT. Nama-nama pasukan dipetik dari tempat-tempat yang terdapat di sekitar kawasan kampung tersebut bagi memperkenalkan tempat berkenaan kepada generasi baharu.
Hadir selaku tetamu kehormat pada kejohanan itu ialah Ketua Kampung Junjongan, Haji Tamam bin Haji Timbang.
Turut hadir, Imam Masjid As-Salam, Kampung Junjongan, Haji Hayrul bin Haji Lakim selaku wakil ahli jawatankuasa takmir masjid tersebut.
Kejohanan tersebut diungkayahkan oleh ahli Jawatankuasa Majlis Perundingan Kampung Junjongan bersama Takmir Masjid As-Salam Kampung Junjongan yang bertujuan untuk menarik minat para belia dan melibatkan mereka ke arah gaya hidup yang sihat di samping mengisi masa lapang sempena cuti persekolahan.

