LONDON, 24 OKT – Penjualan peranti rokok elektronik atau vape pakai buang akan diharamkan di Britain menjelang musim panas depan, lapor agensi berita Jerman (dpa) memetik kerajaan UK.
Perundangan baharu untuk mengharamkan penjualan vape pakai buang mulai 1 Jun 2025 telah dibentangkan di Parlimen, menurut Jabatan Alam Sekitar, Makanan dan Hal Ehwal Luar Bandar (Defra) kelmarin.
Defra berkata perniagaan akan mempunyai masa sehingga tarikh akhir itu “untuk menjual baki stok yang mereka ada dan bersiap sedia untuk penguatkuasaan larangan itu.”
Menurut Defra, Kerajaan UK dan kerajaan kerajaan yang diberi autonomi telah bekerjasama rapat mengenai larangan itu dan akan “menyelaraskan tarikh penguatkuasaan.”
Tahun lepas, dianggarkan hampir lima juta vape sekali guna sama ada dibuang atau dicampakkan bersama sisa biasa setiap minggu di UK, hampir empat kali ganda berbanding tahun sebelumnya.
Defra berkata penggunaan peranti rokok elektronik di England telah meningkat lebih daripada 400 peratus antara 2012 dan 2023, dengan 9.1 peratus rakyat Britain kini
membeli dan menggunakan produk itu. – Bernama
