LONDON, 29 JULAI – Britain telah menjadi lebih panas, lebih basah dan lebih cerah pada abad ini disebabkan perubahan iklim, menurut laporan tahunan oleh ahli meteorologi terkenal hari ini, mendorong amaran suhu musim panas yang melampau bakal dicatat pada dekad-dekad akan datang.
Kajian bertajuk ‘Keadaan Iklim UK 2020’, mendapati tahun lalu UK mencatat suhu ketiga paling panas, kelima paling basah dan kelapan paling cerah di UK.
Ia adalah kali pertama ketiga-tiga pemboleh ubah iklim tersebut mencatat 10 tempat teratas dalam tempoh 12 bulan. Trend itu telah pun membawa kepada cuaca melampau, apabila suhu di Britain naik ‘melebihi’ min global, menurut laporan.
Penulis Mike Kendon, dari Pusat Maklumat Iklim Kebangsaan (NCIC), berkata negara mungkin mencatat suhu musim panas melebihi 40 darjah Celsius menjelang 2040, walaupun pelaksanaan dasar pengurangan perubahan iklim.
Suhu tertinggi yang pernah dicatat di UK ialah 38.7 darjah Celsius, direkod pada Julai 2019.
“Kami telah pun melihat kesan iklim di seluruh dunia dan di UK akibat perubahan iklim dan jelasnya, ia dijangka akan berterusan,” beritahu Kendon kepada radio BBC. – AFP
