LONDON, 29 OKT – Kerajaan United Kingdom (UK) akan mengeluarkan kesemua baki negara daripada senarai merah perjalanan bermula 1 November, sekali gus membatalkan larangan kemasukan pelawat asing ke England.
Setiausaha Pengangkutan, Grant Shapps ketika mengumumkan perkara itu semalam, berkata baki tujuh negara dalam senarai berkenaan ialah Colombia, Republik Dominican, Ecuador, Haiti, Panama, Peru dan Venezuela.
Rakyat Britain yang pulang dari negara terbabit tidak akan lagi dikehendaki menjalani kuarantin selama 11 malam di hotel, manakala warga semua negara itu pula dibenarkan untuk berkunjung ke England.
“Kami akan mengekalkan kategori senarai merah itu sebagai langkah berjaga-jaga bagi melindungi kesihatan awam, dan bersedia untuk menyenaraikan semula negara serta wilayah jika perlu. Ia sebagai barisan pertama pertahanan UK,” kata Shapps melalui Twitter.
Selain itu, beliau berkata kerajaan akan mengiktiraf vaksinasi COVID-19 untuk ketibaan dari lebih 30 lagi negara serta wilayah. Wales juga akan melaksanakan langkah yang sama, kata kerajaannya.
“Saya berasa gembira kerana kami boleh mengurangkan lagi senarai perjalanan, justeru memberi rangsangan kepada perniagaan, keluarga dan kawan yang ingin mengadakan kunjungan,” kata menteri kesihatan Sajid Javid. – AFP