LONDON, 23 FEB – Pasar raya di seluruh Britain dipenuhi rak kosong ekoran bekalan produk segar semakin sukar didapati, hingga menyebabkan buah-buahan dan sayur-sayuran dicatu.
Rangkaian pasar raya termasuk Asda, Morrisons, Iceland, M&S (Marks dan Spencer) Aldi dan Tesco kini berdepan kekurangan bekalan beberapa jenis sayuran termasuk tomato, timun dan brokoli.
Tesco menyertai rangkaian pasar raya lain dalam mengehadkan pembelian sayur-sayuran tertentu bagi setiap pelanggan, lapor agensi Anadolu.
Pasar raya lain seperti M&S, Sainsbury’s, Iceland dan Co-op turut menghadapi situasi yang sama.
Bekalan sayur-sayuran terjejas akibat cuaca buruk melanda Afrika Utara dan Sepanyol hingga menyebabkan hasil tuaian yang rendah.
Pasaran tempatan juga dilaporkan terjejas, dengan sesetengah pihak menjual sayur-sayuran pada harga yang jauh lebih tinggi.
“Cuaca buruk di Sepanyol dan Maghribi telah mengganggu penuaian buah-buahan dan sayur-sayuran termasuk tomato dan lada, tetapi yakinlah, peruncit melakukan sedaya upaya mereka untuk menangani masalah ini,” menurut Konsortium Runcit British pada Selasa. – Bernama


