Thursday, February 6, 2025
22.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    UK beri lesen minyak dan gas baharu

    LONDON, 31 JULAI – Kerajaan UK hari ini berkata ia akan mengeluarkan ‘ratusan’ lesen minyak dan gas baharu di Laut Utara bagi menjamin rizab tenaga sambil tetap berusaha mencapai pelepasan karbon sifar bersih menjelang tahun 2050.

    Pengumuman yang telah menimbulkan kemarahan dalam kalangan kumpulan alam sekitar itu dibuat di tengah-tengah perdebatan dalaman berterusan dalam parti pemerintah Konservatif mengenai dasar hijau.

    Pembangkang utama, Parti Buruh berkata ia tidak akan mengeluarkan sebarang lesen penggalian Laut Utara yang baharu jika ia memperoleh semula kuasa dalam pilihan raya umum yang dijadualkan tahun depan.

    “Pelaburan di Laut Utara akan terus membuka peluang projek baharu, melindungi pekerjaan, mengurangkan pelepasan dan meningkatkan kebebasan tenaga UK,” menurut Downing Street dalam satu kenyataan.

    Pencerobohan Presiden Rusia, Vladimir Putin ke atas Ukraine pada Februari tahun lalu menyaksikan peningkatan harga tenaga global apabila negara-negara Barat mengenakan sekatan terhadap Moscow, dengan khusus menyasarkan eksport minyak dan gas besar-besarannya.

    Semasa lawatan ke Scotland, Perdana Menteri Britain, Rishi Sunak berkata keputusan pelesenan itu ‘sepenuhnya konsisten dengan peralihan kepada sifar karbon’.

    Beliau menyatakan bahawa walaupun Britain mencapai sifar karbon menjelang pertengahan abad ini, kira-kira satu perempat daripada keperluan tenaganya masih akan datang daripada minyak dan gas.

    “Apa yang penting ialah kita mendapatkan minyak dan gas itu dengan cara yang terbaik.

    Dan ini bermakna mendapatkannya dari sini, di dalam negara, dengan lebih baik untuk keselamatan tenaga kita, tidak bergantung kepada diktator asing, lebih baik untuk pekerjaan… malah lebih baik untuk iklim,” tambah Sunak. – AFP

    Aktivis daripada kumpulan Just Stop Oil menyekat jalan di London, pada 27 Oktober 2022. Britain kelmarin berkata ia akan memberikan beratus-ratus lesen minyak dan gas baharu di Laut Utara. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda