Wednesday, January 22, 2025
24.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    UK berjuang selamatkan anjing laut daripada pencemaran

    SHETLAND, UNITED KINGDOM, 13 MAC – Di pinggir kolam pesisir di salah satu Kepulauan Shetland di Scotland, Pixie, seekor anjing laut kelabu merengus dan berguling-guling ke arah air untuk mengambil ikan yang ditinggalkan untuk makan tengah hari.

    Pixie adalah salah seekor daripada ratusan anjing laut yang diselamatkan, kebanyakannya sakit dan kurus akibat termakan makanan dan air laut yang tercemar oleh plastik mikro dan bahan kimia apabila ia tiba di tempat perlindungan di pantai utara pulau utama.

    Yang lain mengalami luka teruk di leher akibat terjerat dengan tali plastik atau pukat.

    Pete dan Jan Bevington yang menjalankan tempat perlindungan di Hillswick, sebuah kampung di utara bandar utama Shetland, Lerwick, berkata pencemaran telah menjejaskan populasi anjing laut di kepulauan itu, yang terkenal dengan pantai berceranggah, tebing yang dramatik dan pelbagai hidupan liar.

    “Dulu lebih mudah untuk menjaga anjing laut,” kata Pete Bevington, 70, kepada AFP.

    Menurut laporan oleh Agensi Alam Sekitar kerajaan UK, yang diterbitkan pada bulan Januari, kesan perubahan iklim telah dikaitkan dengan peningkatan pelepasan bahan kimia berbahaya yang dicuci dari air utama dan pembetung.

    Bahan kimia tersebut yang termasuk polychlorinated biphenyls (PCB), walaupun telah diharamkan pada pertengahan 1980an masih tersebar berleluasa dalam persekitaran marin melalui pemusnahan dan pelupusan loji industri dan peralatan lama.

    PCB terkumpul dalam kerang dan ikan, yang dimakan oleh anjing laut, menyebabkan sistem imun haiwan itu lemah dan menjadikannya lebih mudah terdedah kepada jangkitan dan penyakit. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda