LONDON, 17 JAN – Pasukan Sempadan United Kingdom (UK) dan pegawai polis merampas lebih 119 tan dadah haram dengan nilai di pasaran gelap sebanyak AS$3.5 bilion dalam tempoh setahun hingga Mac lalu, satu rampasan terbesar sejak rekod dimulakan, menurut kerajaan kelmarin.
Kuantiti dadah yang dirampas di seluruh England dan Wales meningkat sebanyak 52 peratus berbanding tahun sebelumnya, menurut angka dari Jabatan Dalam Negeri.
Dadah yang dirampas antara April 2023 hingga Mac 2024, termasuk rekod 28 tan kokain dan 74 tan ganja dalam lebih 210,000 rampasan oleh pegawai polis dan Pasukan Sempadan, kata kementerian itu.
“Statistik ini menghantar mesej yang jelas kepada kumpulan jenayah terancang bahawa mereka akan ditangkap dan berdepan hukuman mengikut undang-undang jika mereka cuba menyeludup dadah ke negara kita,” kata Menteri Migrasi Seema Malhotra.
Pada Rabu, UK mengumumkan larangan ke atas lebih 20 bahan berbahaya termasuk xylazine, satu anestetik veterinar yang digabungkan dengan opioid telah mencetuskan kucar-kacir di Amerika Syarikat selama beberapa tahun. – AFP