Saturday, July 27, 2024
31.8 C
Brunei

    -

    UK cadang haramkan vape

    LONDON, 29 JAN – UK akan memperkenalkan undang-undang untuk mengharamkan e-rokok pakai buang (vape) bagi menangani peningkatan dalam penggunaan vape dalam kalangan belia, kata Perdana Menteri Rishi Sunak hari ini.

    “Seperti yang diketahui oleh mana-mana ibu bapa atau guru, salah satu trend paling membimbangkan pada masa ini adalah peningkatan penggunaan vape dalam kalangan kanak-kanak, jadi kita mesti bertindak sebelum ia menjadi wabak,” kata Sunak sebelum pengumuman rasmi rancangannya.

    “Saya mengambil tindakan berani untuk mengharamkan e-rokok pakai buang – yang telah menyumbang kepada peningkatan penggunaan vape dalam kalangan belia – dan mengetengahkan peraturan baharu untuk mengehadkan perisa vape, memperkenalkan pembungkusan yang ringkas dan mengubah cara vape dipaparkan di kedai,” tambahnya.

    Kerajaan memetik angka baru-baru ini yang menunjukkan bilangan pengguna di bawah umur 18 tahun yang menggunakan vape pakai buang telah meningkat hampir sembilan kali ganda dalam tempoh dua tahun terakhir.

    Kerajaan Sunak juga merancang untuk memperkenalkan denda bagi kedai-kedai di England dan Wales yang menjual vape secara haram kepada kanak-kanak.

    Pakar kesihatan menyambut baik cadangan tersebut, dengan Ketua Pegawai Perubatan, Chris Whitty berkata undang-undang itu akan memberikan ‘impak kesihatan awam yang besar merentasi banyak generasi akan datang’.

    Tahun lalu, Sunak lepas mencadangkan rancangan untuk menjadikan UK sebagai sebuah negara bebas rokok akhirnya.

    Cadangan beliau akan menjadikan satu kesalahan bagi sesiapa yang dilahirkan pada atau selepas 1 Januari 2009 untuk membeli produk tembakau – secara efektif meningkatkan umur merokok sebanyak setahun bagi setiap tahun sehingga ia terpakai untuk seluruh penduduk, demikian menurut kenyataan oleh pejabat Sunak di Downing Street. – AFP

    Pilihan vape berwarna-warni yang dipamerkan untuk dijual dapat dilihat di kedai cenderamata di London, kelmarin. – AP
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sri Lanka adakan pilihan raya presiden pada 21 September

    COLOMBO, 26 JULAI – Suruhanjaya Pilihan Raya Sri Lanka mengumumkan pada Jumaat bahawa pilihan raya presiden negara itu akan diadakan pada 21 September, lapor...