LONDON, 14 APRIL – Seorang remaja berusia 19 tahun dihadapkan ke mahkamah kelmarin, atas tuduhan membunuh empat orang yang mati ketika cuba menyeberangi Selat ke United Kingdom (UK) dengan bot kecil.
Ibrahima Bah, yang sebelum ini didakwa memudahkan kemasukan haram ke UK, direman dalam tahanan dan diperintahkan untuk hadir pada perbicaraan lanjut pada 15 Mei.
Tuduhan itu berkaitan dengan terbaliknya bot yang penuh dengan pendatang yang mengalami kesukaran di tengah suhu beku pada Disember tahun lalu.
Operasi penyelamat telah menyelamatkan 39 orang dari perairan selat itu dan membawa mereka ke tempat selamat. Tetapi empat lagi disahkan meninggal dunia.
Identiti mereka masih tidak diketahui. Pemeriksaan mayat menyatakan bahawa mereka mungkin berasal dari Afghanistan dan Senegal.
Kejadian itu berlaku lebih setahun selepas 27 orang maut di Selat sama dalam cubaan ke UK dari utara Perancis.
Lebih 45,000 pendatang cuba menyeberangi selat yang berbahaya itu tahun lalu, satu rekod jumlah yang tinggi. – AFP


