LONDON, 21 JUN – Penumpang kereta api di UK berdepan huru-hara kelmarin apabila pekerja landasan melancarkan mogok terbesar rangkaian itu dalam lebih tiga dekad, memaksa orang ramai berjalan kaki ke tempat kerja, menaiki basikal atau bas.
Segelintir orang ramai pula tidak mengendahkan mogok tersebut.
Kesatuan kereta api RMT bertikai bahawa mogok itu wajar kerana gaji pekerja tidak seiring dengan inflasi UK, yang telah mencecah paras tertinggi 40 tahun dan dilihat berpotensi untuk terus meningkat.
Rundingan terakhir bagi mengelak pemogokan kerja gagal kelmarin, bermakna lebih 50,000 ahli RMT akan protes selama tiga hari minggu ini.
Stesen Kereta Api dan Kereta Api Bawah Tanah London yang biasanya dipenuhi penumpang pada waktu sibuk pagi telah dilihat lengang, dengan hanya sebilangan perkhidmatan yang masih dijalankan di banyak rangkaian di seluruh negara. Penumpang juga diberi amaran supaya tidak melakukan perjalanan sepanjang minggu, dengan dua hari lagi tindakan mogok dijadualkan pada Khamis dan Sabtu ini bakal mendatangkan malapetaka kepada jadual perjalanan.
Manakala itu di London, firma-firma teksi melaporkan lonjakan dalam permintaan ramai untuk menumpang, manakala jalan utama dipenuhi dengan bas dan kereta dengan penunggang basikal turut kelihatan.
Satu barisan panjang terbentuk di perhentian bas di pinggir London sejurus selepas 6 pagi kelmarin, tetapi ramai yang berputus asa kerana perkhidmatan yang dijalankan tanpa henti sudah dipenuhi.
Manakala di St Albans, sebuah bandar komuter di utara ibu negara, ejen surat khabar tempatan di sebelah stesen itu memberitahu AFP: “Sudah sunyi. Orang ramai kini bekerja dari rumah”. – AFP
