Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    UK dijangka alami gelombang haba pertama 2025

    LONDON, 20 JUN – Pegawai kesihatan Britain memberi amaran kepada orang ramai di seluruh negara agar mengambil langkah berjaga-jaga ketika United Kingdom (UK) mengalami gelombang haba pertamanya tahun ini.

    Suhu dijangka mencecah sehingga 34 darjah Celsius di beberapa kawasan di timur England pada Sabtu, selepas seminggu cuaca panas luar biasa, menurut agensi cuaca kebangsaan, Met Office.

    Suhu itu adalah kira-kira 12 darjah lebih tinggi daripada purata biasa untuk waktu ini.

    Agensi Keselamatan Kesihatan UK (UKHSA) telah mengeluarkan amaran tahap jingga untuk seluruh England berikutan peningkatan risiko kesihatan kepada golongan berusia 65 tahun ke atas serta mereka yang mempunyai masalah jantung dan paru-paru.

    “Haba boleh mengakibatkan kesan kesihatan yang serius kepada seluruh penduduk, terutamanya warga emas dan mereka yang menghidap penyakit kronik,” kata Dr Agostinho Sousa, Ketua UKHSA, dalam satu kenyataan.

    “Oleh itu, penting untuk memeriksa keadaan rakan, ahli keluarga dan jiran yang lebih terdedah serta mengambil langkah berjaga-jaga yang wajar ketika menikmati cahaya matahari.”

    Met Office menjangkakan Sabtu menjadi hari paling panas sepanjang gelombang haba tersebut, dengan suhu sedikit menurun pada Ahad dan kembali ke paras biasa minggu hadapan. Amaran haba dijadualkan kekal berkuat kuasa sehingga pagi Isnin.

    Secara luar biasa, suhu di London minggu ini lebih tinggi berbanding banyak kawasan di Eropah Barat.

    Menurut Met Office, fenomena ini bukan berpunca daripada pergerakan udara panas dari Semenanjung Iberia atau Afrika Utara seperti kebiasaannya. Sebaliknya, sistem cuaca kali ini berasal daripada udara tinggi di atas Lautan Atlantik, selatan Greenland.- AP

    Pejalan kaki menyejukkan diri mereka sambil berjalan melalui pancuran kabus di Dover, England, kelmarin. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda