Saturday, July 27, 2024
27.1 C
Brunei

    -

    UK, EU setuju bekerjasama tangani pendatang haram

    LONDON, 23 FEB – Britain dan bekas rakan kongsinya dalam Kesatuan Eropah (EU) telah memeterai perjanjian untuk bekerjasama lebih erat dalam menangani penghijrahan haram, sebagai tanda terbaharu mengenai pemulihan hubungan antara kedua-dua pihak berikutan Brexit.

    Kerajaan Britain berkata dalam satu kenyataan hari ini bahawa agensi sempadan UK dan Frontex, agensi sempadan dan pengawal pantai EU, boleh mengakses maklumat risikan masing-masing untuk mengawal sempadan dan menangani jenayah imigresen terancang.

    Terdapat juga latihan bersama, penempatan kakitangan dari satu pihak ke pihak yang lain dan kerjasama dalam penyelidikan dan pembangunan mengenai teknologi baharu.

    Perjanjian itu, yang akan ditandatangani kemudian di London, tidak termasuk sebarang perjanjian balas dua hala, yang bermakna kedua-dua pihak tidak akan diwajibkan

    untuk mengambil mana-mana pencari perlindungan di bawah pengaturan perkongsian beban yang dipersetujui antara 27 negara anggota EU.

    “Jenayah imigresen terancang dan penyeludupan orang adalah cabaran global yang memerlukan penyelesaian dan cita-cita bersama,” kata Setiausaha Dalam Negeri UK, James Cleverly.

    “Pengaturan kerja kami antara UK dan Frontex merupakan satu lagi langkah penting dalam membanteras ketibaan pendatang haram, mengawal sempadan kami serta menghalang bot yang masuk,” tambahnya.

    Hubungan antara kedua-dua pihak mengenai pelbagai isu telah bertambah baik sejak beberapa bulan lalu, setelah mengalami ujian yang getir semasa rundingan pemisahan yang berlarutan selepas undian Britain pada 2016 untuk meninggalkan EU.

    Perpecahan itu menjadi muktamad pada awal 2021 dengan persetujuan perjanjian perdagangan dan kerjasama, tetapi hubungan menjadi lebih tegang di bawah Perdana Menteri UK, Boris Johnson yang amat pro-Brexit. – AP

    Sebuah kem sementara pendatang didirikan di Calais, utara Perancis, di mana pendatang menunggu untuk menyeberang Selat Inggeris pada 27 November. – AP
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sri Lanka adakan pilihan raya presiden pada 21 September

    COLOMBO, 26 JULAI – Suruhanjaya Pilihan Raya Sri Lanka mengumumkan pada Jumaat bahawa pilihan raya presiden negara itu akan diadakan pada 21 September, lapor...