LONDON, 21 MEI – Kerajaan United Kingdom (UK) kelmarin telah mengeluarkan kecaman paling tegas setakat ini terhadap serangan Israel ke atas Gaza dan Tebing Barat yang diduduki, menyifatkan krisis kemanusiaan di Gaza sebagai ‘keji’ serta mengumumkan penggantungan rasmi rundingan perjanjian perdagangan bebas (FTA) dengan Israel, lapor agensi Anadolu.
Bercakap di Dewan Rakyat, Setiausaha Luar, David Lammy menggambarkan kempen ketenteraan Israel yang berterusan sebagai ‘berbahaya, menjijikkan dan kejam’.
Beliau memberi amaran dasar Israel hanya membenarkan ‘jumlah makanan minimum bagi mengelak kebuluran’ ke Gaza merupakan satu strategi kelaparan yang disengajakan.
“Perdana Menteri Netanyahu menyatakan mereka akan mengawal Semenanjung Gaza dan hanya membenarkan jumlah makanan minimum. Puan Timbalan Speaker, saya petik kata-kata Netanyahu: ‘hanya cukup untuk mengelak kebuluran’,” kata Lammy kepada ahli Parlimen.
Tambahnya, “Ia tidak dapat diterima dari segi moral. Ia tidak seimbang. Ia benar-benar, benar-benar tidak produktif.”
Lammy turut memberi amaran taktik ketenteraan Israel tidak akan dapat menewaskan Hamas, tetapi hanya akan ‘me-ninggalkan generasi anak yatim dan trauma, satu sasaran mudah untuk direkrut Hamas.’ – Bernama
