LONDON, 12 SEPT – Kerajaan United Kingdom (UK) berkata kelmarin, ia telah bersetuju dengan kontrak perjanjian bernilai £400 juta (AS$543 juta) dengan Google Cloud untuk berkongsi maklumat sulit dengan Amerika Syarikat (AS), beberapa hari sebelum lawatan Presiden Donald Trump.
Perjanjian itu akan mengukuhkan hubungan komunikasi selamat antara UK dan AS, sebagai tambahan kepada perkongsian perisikan dan keselamatan meluas yang telah dikongsi oleh kedua-dua negara,” kata Kementerian Pertahanan Britain (MoD).
Ia menambah teknologi terbaharu Google Cloud, termasuk kecerdasan buatan (AI), analitik data dan keselamatan siber, akan digunakan oleh pakar perisikan pertahanan dan keselamatan negara untuk meningkatkan kerjasama.
Kementerian itu mendedahkan berjuta-juta paun pelaburan masuk daripada Google Cloud, dengan menyatakan syarikat gergasi teknologi AS itu akan merekrut pasukan pakar UK untuk mengurus program tersebut.
Setiausaha Pertahanan, John Healey berkata, teknologi itu mempunyai kawalan keselamatan dan data kerajaan yang ketat bagi memastikan data kritikal kekal di bawah kawalan UK.
Presiden EMEA Google Cloud, Tara Brady berkata kontrak itu akan membantu kerajaan UK membangunkan infrastruktur yang kukuh dan berdaya tahan serta memanfaatkan inovasi teknologi terkini.
“Perkongsian ini akan membolehkan MoD mempercepatkan usaha pemodenan digitalnya sambil mengekalkan tahap tertinggi keselamatan dan kawalan terhadap data kerajaan,” tambahnya.
Pengumuman perjanjian itu dibuat menjelang lawatan Trump ke UK minggu depan, dengan beberapa eksekutif teknologi utama AS dilaporkan bersedia untuk menyertai pemimpin Amerika itu. – AFP


