Thursday, December 26, 2024
24.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    UK hampir luluskan tawaran Microsoft bernilai AS$69 bilion

    LONDON, 22 SEPT – United Kingdom (UK) hari ini berkata ia hampir meluluskan tawaran Microsoft bernilai AS$69 bilion untuk pengeluar permainan video Call of Duty, Activision Blizzard selepas perjanjian itu menangani kebimbangan pihak berkuasa pengawalseliaan.

    Pihak Berkuasa Persaingan dan Pasaran berkata dalam satu kenyataan bahawa “perjanjian yang telah diubahsuai membuat perubahan penting” dan “membuka pintu kepada perjanjian itu untuk diluluskan”.

    Microsoft, pengeluar konsol permainan Xbox, baru-baru ini mengemukakan cadangan baharu kepada CMA selepas cadangan sebelumnya ditolak.

    Syarikat gergasi teknologi AS itu mengemukakan tawaran awal tahun lalu, dengan hasrat untuk membentuk firma permainan ketiga terbesar di dunia dari segi pendapatan selepas Tencent China dan pengeluar PlayStation Jepun, Sony.

    Namun, perjanjian untuk membeli pemilik nama permainan termasuk World of Warcraft dan Candy Crush telah berdepan dengan penelitian oleh pihak berkuasa pengawalseliaan.

    “Sebagai respons terhadap larangan asal kami, Microsoft kini telah mengubahsuai secara besar-besaran perjanjian itu, mengambil langkah-langkah yang diperlukan untuk menangani kebimbangan asal kami,” kata Ketua Eksekutif CMA, Sarah Cardell, dalam kenyataan hari ini.

    Microsoft tidak akan lagi membeli hak permainan awan yang dipegang oleh Activision dan sebaliknya, ia akan dijual kepada pembangun permainan Perancis, Ubisoft Entertainment.

    Di luar UK, Kesatuan Eropah meluluskan perjanjian itu pada Mei sementara pihak pengawalseliaan persaingan AS pada hujung Julai menamatkan cubaannya untuk menghalang pembelian itu selepas menghadapi masalah di mahkamah. – AFP

    Gambar AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda