LONDON, 1 MEI – Hari ini dijangka menjadi hari paling panas tahun ini setakat ini di United Kingdom, dengan ramalan suhu boleh mencecah 30 darjah Celsius iaitu paling awal yang pernah direkodkan.
United Kingdom (UK) mungkin akan mengalami permulaan bulan Mei yang paling panas dalam sejarah, dengan ahli meteorologi Pejabat Meteorologi Michael Silverstone, mengatakan suhu boleh mencecah “29C atau bahkan 30C,” lapor PA Media/dpa.
Beliau menambah, “Jika suhu mencapai 30C hari ini, ini akan menjadi tarikh paling awal dalam bulan Mei yang mencatatkan suhu 30C sejak rekod bermula pada 1860.”
Pejabat Meteorologi melaporkan suhu mencapai 26.7 darjah di Wisley, Surrey pada Rabu – menjadikannya hari paling panas tahun ini setakat ini.
Rekod sebelumnya ialah 24.5 darjah di St James’s Park, London, Isnin lalu, yang mencatatkan 24.7 darjah pada Selasa.
Walaupun suhu meningkat mendadak, Pejabat Meteorologi menolak kemungkinan gelombang panas minggu ini.
Silverstone berkata ia kelihatan “tidak mungkin” UK akan mencapai gelombang panas – yang ditakrifkan sebagai tiga hari berturut-turut dengan suhu melebihi “ambang gelombang panas,” yang berbeza di seluruh negara.
Ambang tersebut adalah 25 darjah untuk kebanyakan UK, meningkat kepada 28 darjah di London.
“Memang benar ia mungkin hampir tercapai di beberapa tempat di selatan, dengan suhu hari ini atau Jumaat mungkin hanya gagal melepasi ambang yang diperlukan,” kata Silverstone. – Bernama
