Thursday, January 16, 2025
24.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    UK haramkan import ternakan Jerman akibat wabak kaki dan mulut

    LONDON, 15 JAN – UK kelmarin mengharamkan import lembu, khinzir dan kambing biri-biri dari Jerman bagi mencegah penularan penyakit kaki dan mulut, ketika Berlin berusaha membendung wabak virus tersebut.

    “Import lembu, khinzir dan kambing biri-biri dari Jerman kini diharamkan untuk melindungi para petani dan mata pencarian mereka,” menurut kenyataan kerajaan, selepas Korea Selatan dan Mexico menghentikan import daging khinzir dari Jerman.

    Jangkitan virus yang sangat mudah merebak itu tidak berbahaya kepada manusia tetapi memberi kesan kepada lembu dan haiwan kuku berbelah lain, termasuk kambing biri-biri dan khinzir.

    Tiga kes penyakit kaki dan mulut (FMD) dilaporkan pada kerbau air di sebuah ladang berhampiran Berlin pada Jumaat.

    Ia merupakan insiden pertama virus tersebut dilaporkan di Jerman dalam lebih daripada tiga dekad dan kes pertama di Kesatuan Eropah sejak tahun 2011.

    Gambar Canva

    Ketiga-tiga haiwan tersebut telah mati, manakala 11 lagi daripada kumpulan ternakan itu telah dihapuskan sebagai langkah pencegahan.

    Buat masa ini, tiada kes dilaporkan di UK, namun Kementerian Alam Sekitar dan Pertanian telah memberi amaran kepada para petani supaya terus berwaspada.

    Pada tahun 2001, sehingga 10 juta haiwan dibunuh akibat wabak penyakit FMD di UK, yang menyebabkan ekonomi negara mengalami kerugian bernilai AS$9.8 bilion.

    Kenyataan kerajaan UK memberi amaran bahawa penyakit FMD menyebabkan kerugian ekonomi yang besar dan menggesa para penternak supaya tetap berwaspada terhadap tanda-tanda klinikal FMD.

    Gejala penyakit berkenaan termasuk demam dan lepuh di dalam mulut serta berhampiran kawasan kuku. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda