Saturday, July 26, 2025
32 C
Brunei

    Berita Terkini

    UK-India meterai perjanjian perdagangan

    LONDON, 25 JULAI – Perdana Menteri Britain dan India kelmarin telah memeterai perjanjian perdagangan yang telah lama dirundingkan, dan perjanjian tersebut bakal mengurangkan tarif ke atas pelbagai produk makanan dan rempah-ratus India ke United Kingdom (UK).

    Keir Starmer dan Narendra Modi bertemu di Chequers, kediaman rasmi Perdana Menteri Britain di luar London, di mana Menteri Perdagangan kedua-dua negara, Jonathan Reynolds dan Piyush Goyal telah menandatangani perjanjian tersebut secara rasmi.

    Starmer menyifatkannya sebagai ‘perjanjian perdagangan terbesar dan paling signifikan dari segi ekonomi’ yang dimeterai Britain sejak keluar dari Kesatuan Eropah pada 2020.

    Modi pula menyebut perjanjian tersebut sebagai ‘hari bersejarah dalam hubungan dua hala kami.’

    Selain perjanjian perdagangan, kedua-dua negara turut mengumumkan perjanjian perdagangan dan pelaburan bernilai £6 bilion dalam sektor seperti kecerdasan buatan (AI), aeroangkasa dan produk tenusu serta berikrar untuk memperkukuh kerjasama dalam pertahanan, migrasi, iklim dan kesihatan.

    Keir Starmer berjabat tangan dengan Narendra Modi di Chequers berhampiran Aylesbury, England, pada 24 Julai. – AP

    Perjanjian antara dua ekonomi terbesar dunia yang mana India berada di tempat kelima dan Britain di tempat keenam yang telah diumumkan pada Mei lalu selepas rundingan lebih tiga tahun itu tertangguh di bawah kerajaan Konservatif Britain sebelum ini. Namun, perjanjian tersebut masih perlu disahkan oleh Parlimen Britain.

    Kerajaan UK menyatakan perjanjian itu akan mengurangkan purata tarif India ke atas barangan British daripada 15 peratus kepada tiga peratus.

    Manakala, tarif automotif pula akan dikurangkan daripada lebih 100 peratus kepada 10 peratus di bawah kuota tertentu.

    Britain menjangkakan perjanjian itu akan meningkatkan perdagangan dua hala seba-nyak £25.5 bilion dalam setahun menjelang 2040 dan menambah hampir £5 bilion kepada ekonomi Britain.

    Kementerian Perdagangan India pada Mei lalu menyatakan bahawa 99 peratus eksport India tidak akan dikenakan cukai import di bawah perjanjian tersebut, termasuk produk seperti pakaian, kasut dan makanan.

    Sementara itu, sebanyak 13 pusingan rundingan diadakan namun tiada kejayaan dicapai, sebelum ditangguhkan bagi memberi laluan kepada pilihan raya umum di kedua-dua negara pada 2024.

    Modi berjaya dipilih semula manakala Britain menyaksikan peralihan kepada kerajaan baharu pimpinan Parti Buruh berhaluan kiri tengah di bawah Starmer, mengganti kerajaan Konservatif. – AP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda