LONDON, 7 Mei – Britain kelmarin telah memeterai perjanjian perdagangan bebas dengan India, yang merupakan perjanjian terbesar sejak negara itu keluar dari Kesatuan Eropah (EU), susulan rundingan yang disambung semula pada Februari lalu selepas ancaman tarif dari Amerika Syarikat (AS).
Britain berusaha mengukuhkan hubungan perdagangan di peringkat global sejak meninggalkan EU awal dekad ini di bawah dasar Brexit, satu keperluan yang semakin mendesak selepas AS mengenakan tarif yang boleh menjejaskan pertumbuhan ekonomi.
“Hari ini kami telah memeterai perjanjian penting dengan India, salah satu ekonomi paling pesat berkembang di dunia, yang akan merangsang ekonomi dan memberi manfaat kepada rakyat serta perniagaan di Britain,” kata Perdana Menteri UK, Keir Starmer, dalam satu kenyataan.
Kerajaan Parti Buruh menyifatkan perjanjian itu sebagai ‘perjanjian perdagangan dua hala terbesar dan paling signifikan yang pernah dicapai UK sejak keluar dari EU.’
Perdana Menteri India, Narendra Modi, menggambarkan perjanjian itu sebagai ‘berwawasan dan saling menguntungkan’.
Modi berkata perjanjian itu akan ‘merangsang perdagangan, pelaburan, pertumbuhan, penciptaan pekerjaan dan inovasi dalam kedua-dua ekonomi,’ menerusi satu kenyataan di platform media sosial X.
Pejabat beliau turut menyatakan perjanjian ini akan ‘membuka potensi baharu bagi kedua-dua negara untuk membangunkan produk dan perkhidmatan untuk pasaran global’, selain menambah Modi telah menjemput Starmer untuk melawat India pada tarikh yang belum ditetapkan.
Perjanjian itu dimeterai selepas Presiden AS, Donald Trump menaikkan tarif ke atas rakan dagang serta mengenakan cukai tertentu terhadap keluli, aluminium dan kenderaan. – AFP
