NYON, 10 OKT – United Kingdom (UK) dan Republik Ireland akan menjadi tuan rumah bersama Euro 2028, manakala Itali dan Turkiye akan menjadi tuan rumah bersama kejohanan 2032, UEFA mengumumkan hari ini.
Kedua-dua bidaan itu berjalan tanpa bertanding tetapi masih memerlukan kelulusan rasmi daripada badan induk bola sepak Eropah, yang mereka terima dalam mesyuarat di Switzerland.
Turkiye minggu lalu menarik diri daripada proses bidaan untuk Euro 2028, membuka laluan untuk Britain dan Ireland, yang menangguhkan rancangan untuk membida menjadi tuan rumah Piala Dunia 2030 bagi memberi tumpuan kepada Kejohanan Eropah.
Turkiye, yang gagal membida untuk menjadi tuan rumah setiap Euro sejak 2008, pada awalnya adalah calon untuk 2028 dan 2032.
Bagaimanapun, pada Julai ia bersetuju untuk menyertai Itali dalam bidaan untuk edisi 2032, tanpa menyatakan pada masa itu jika ia akan menarik diri daripada pencalonan untuk 2028.

England, yang menjadi tuan rumah Euro wanita tahun lepas, kali terakhir menganjurkan kejohanan utama lelaki pada 1996, ketika Kejohanan Eropah melibatkan hanya 16 pasukan.
Ia juga menganjurkan perlawanan akhir Euro 2020 yang disertai 24 pasukan, yang ditangguhkan setahun akibat pandemik dan diadakan di pelbagai tempat di seluruh Eropah, di Wembley.
Di antara mereka, England dan Scotland menganjurkan 12 perlawanan sepanjang kejohanan itu.
Itali juga menjadi tuan rumah perlawanan di Rom semasa Euro 2020 tetapi belum pernah menganjurkan kejohanan sendiri sejak Piala Dunia 1990.
Ia menjadi tuan rumah peringkat akhir Euro empat pasukan pada tahun 1968 dan kejohanan lapan pasukan pada tahun 1980.
Turkiye, yang menjadi tuan rumah perlawanan akhir Liga Juara-juara di Istanbul pada bulan Jun, belum pernah dianugerahkan pertandingan antarabangsa utama. – AFP

