LONDON, 14 APRIL – United Kingdom (UK) menjanjikan £20 bilion (AS$26 bilion) kelmarin, untuk membantu pengeksport termasuk mereka yang terjejas oleh tarif Amerika Syarikat (AS), ketika cukai import secara meluas oleh Presiden Donald Trump menjejas pasaran global.
Kementerian Kewangan Britain berkata langkah itu akan menambah pakej kewangan eksport UK sebanyak £20 bilion kepada jumlah keseluruhan £80 bilion, dengan ribuan perniagaan UK yang terjejas oleh tarif akan mendapat manfaat.
“Sehingga £10 bilion daripada sokongan itu akan digunakan khusus untuk syarikat yang terjejas dalam jangka pendek oleh keadaan semasa,” katanya.
Menteri Kewangan, Rachel Reeves berkata langkah itu akan membantu syarikat yang menghadapi kesukaran.
“Dunia sedang berubah, itulah sebabnya adalah lebih penting untuk menyokong perniagaan yang terkemuka di dunia dan menyokong mereka untuk mengharungi cabaran akan datang,” katanya.
Kementerian Kewangan berkata perniagaan kecil juga dapat mengakses pinjaman sehingga £2 juta sebagai sebahagian daripada pakej itu. Penganalisis telah memberi amaran bahawa tarif 10 peratus ke atas import AS barangan Britain boleh melemah lagi perniagaan dan sentimen pengguna di UK.
Industri tertentu seperti kereta, keluli dan aluminium berdepan tarif yang lebih tinggi sebanyak 25 peratus.
AS merupakan rakan perdagangan negara tunggal terbesar UK, dengan lebih £1.2 trilion dilaburkan dalam ekonomi masing-masing.
Langkah itu diambil ketika UK berusaha untuk menjadi broker perjanjian perdagangan pasca-Brexit yang telah lama ditunggu-tunggu dengan AS. – AFP
