LONDON, 2 SEPT – United Kingdom (UK), Jepun dan Korea Selatan mengalami suhu musim panas paling tinggi sejak setiap negara mula merekodkan data cuaca, menurut agensi meteorologi masing-masing kelmarin.
Purata suhu UK bagi bulan Jun-Ogos adalah 16.1 darjah Celsius (C), iaitu 1.51 darjah Celsius lebih tinggi daripada purata jangka panjang dan mengatasi semua rekod sejak 1884, termasuk rekod terdahulu pada 2018, menurut Pejabat Meteorologi.
Musim panas UK menyaksikan empat gelombang haba, hujan di bawah paras purata serta sinaran matahari berpanjangan, menyusuli musim bunga paling panas dalam tempoh lebih 100 tahun.
Manakala di Jepun, lonjakan suhu purata jauh lebih ketara dalam tempoh tiga bulan yang sama, iaitu 2.36°C lebih tinggi daripada ‘nilai piawai’, menjadikannya musim panas paling panas sejak rekod bermula pada 1898, kata Agensi Meteorologi Jepun.
Gelombang panas tahun ini mendorong kira-kira 84,521 orang dimasukkan ke hospital di seluruh negara dari 1 Mei hingga 24 Ogos, menurut Agensi Pengurusan Bomba dan Bencana Jepun.
Di Korea Selatan, purata suhu Jun-Ogos adalah 25.7°C, ‘yang tertinggi sejak data mula direkodkan pada 1973,’ menurut kenyataan Pentadbiran Meteorologi Korea.
Bencana kebangsaan telah diisytiharkan di bandar negara tersebut apabila paras air di takungan Obong, yang merupakan sumber utama bekalan air paip bandar jatuh di bawah 15 peratus.
Profesor kajian meteorologi di Universiti Keimyung, Kim Hae-dong, memberitahu AFP, cuaca panas tersebut berkait dengan ‘kelemahan udara sejuk Artik akibat pemanasan global.’
Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) pula memberi amaran bulan lalu bahawa peningkatan suhu global semakin menjejaskan kesihatan pekerja, di samping menurunkan produktiviti yang menurut mereka susut dua hingga tiga peratus bagi setiap darjah melebihi 20°C. – AFP


