LONDON, 17 DIS – Menteri Luar United Kingdom (UK), David Cameron dan rakan sejawatan dari Jerman, Annalena Baerbock menegaskan ‘keperluan yang mendesak’ bagi ‘gencatan senjata yang mapan’ di Gaza dalam satu artikel bersama untuk akhbar Britain, Sunday Times.
Kedua-dua menteri itu menulis dalam artikel bersama Sunday Times bahawa ‘terlalu ramai orang awam telah terbunuh’ dalam konflik itu dan menambah tekanan ke atas Israel untuk mengakhiri operasinya terhadap Hamas dengan segera, tetapi dengan cara yang ‘mapan’.
“Kita mesti melakukan segala yang mungkin untuk membuka jalan kepada gencatan senjata yang mampan, yang membawa kepada keamanan yang mampan.
“Lebih cepat ia dicapai, lebih baik – keperluan itu mendesak,” tulis mereka.
Bagaimanapun, mereka turut menyatakan pandangan ‘kini bukanlah masa yang sesuai untuk mengadakan gencatan senjata secara am dan segera, dengan harapan ia menjadi kekal.

“Ia tidak menghiraukan sebab-sebab mengapa Israel terpaksa mempertahankan diri: serangan Hamas ke atas Israel dan masih melancarkan roket untuk membunuh rakyat Israel setiap hari.
“Hamas perlu melucutkan senjata mereka,” tambah mereka.
Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) pada malam Selasa menuntut gencatan senjata segera di Gaza, tetapi UK mengecualikan diri daripada undian.
Israel kini semakin ditekan oleh sekutunya berhubung peperangan di Gaza, dengan penyokong utama, Amerika Syarikat mengkritik pengebomannya dalam respons terhadap serangan pada 7 Oktober sebagai tindakan ‘sembarangan’.
Memberikan respons terhadap soalan mengenai perubahan dasar kerajaan UK, Timbalan Perdana Menteri, Oliver Dowden hari ini menggesa Israel supaya mengawal tindakan mereka. – AFP