LONDON, 2 MAC – Kerajaan Britain tidak berhasrat mengubah peraturan sekatan pergerakan selepas strain COVID-19 Brazil yang baharu dikesan di United Kingdom (UK), kata Setiausaha Kesihatan Matt Hancock, lapor agensi berita Sputnik.
Berikutan itu juga, sekolah akan tetap dibuka bermula 8 Mac.
“Jika anda melihat kes baharu pada Jumaat, jumlahnya menurun namun pada kadar perlahan. Ia menunjukkan bahawa kita semua harus terus mematuhi peraturan.
“Mengenai enam kes varian yang pertama kali dikenal pasti di Manaus, Brazil yang telah dikesan di UK, tiga di Scotland, dan tiga di England. Kita tahu lima daripada mereka menjalani kuarantin wajib di rumah.
“Kami melakukan ujian di South Gloucestershire, sebagai langkah berjaga-jaga dan saya menggesa semua supaya terus berwaspada,” kata Hancock dalam satu kenyataan pada Isnin.
Pada akhir Februari, Perdana Menteri UK Boris Johnson mengumumkan kerajaan akan menamatkan sekatan pergerakan COVID-19 di England dan sekolah kembali dibuka.
Beliau ‘sangat optimis’ dalam memenuhi sasaran kerajaan untuk menamatkan peraturan COVID-19 mengenai kontak sosial menjelang 21 Jun, namun tiada jaminan sama ada perkara itu dapat dilaksanakan atau sebaliknya. – Bernama
