LONDON, 19 DIS – Sejumlah 3,201 kes varian Omicron dikesan di United Kingdom (UK), menjadikan jumlah Varian Membimbangkan (VOC) itu meningkat kepada 14,909 kes.
Dalam pada itu, 93,045 kes baharu COVID-19 direkodkan dalam tempoh 24 jam lalu, sekali gus memecah rekod kes tertinggi untuk tiga hari berturut-turut.
Pertambahan kes itu menaikkan jumlah kumulatif kes positif di UK kepada 11,190,354 kes setakat Jumaat lalu.
Jumlah kematian akibat COVID-19 di negara itu juga bertambah kepada 147,048 kes selepas 111 lagi individu dilaporkan meninggal dunia. Perdana Menteri, Boris Johnson menegaskan varian Omicron menjadi ancaman serius dan beliau menjangkakan satu gelombang lebih serius bakal berlaku. Setakat ini, lebih 81 peratus golongan berusia 12 tahun ke atas sudah menerima suntikan lengkap dan lebih 44 peratus mendapat suntikan dos penggalak. – AFP