LONDON, 8 JUN – Kerajaan United Kingdom (UK) hari ini, mengumumkan pelaburan sebanyak 86 bilion pound dalam bidang sains, teknologi dan pertahanan menjelang tahun 2030, hanya beberapa hari sebelum pelan perbelanjaan negara untuk tahun-tahun akan datang dibentangkan.
Menteri Kewangan dari Parti Buruh, Rachel Reeves, sebelum ini telah mengumumkan pemotongan besar terhadap belanjawan awam dalam beberapa bulan kebelakangan ini berikutan keadaan fiskal yang ketat, selain meluluskan pinjaman tambahan untuk tujuan pelaburan – membolehkan sejumlah 113 bilion pound dibelanjakan menjelang akhir dekad ini.
Dalam rangka tersebut, sebanyak 86 bilion pound akan dilaburkan untuk mempercepat pertumbuhan sektor-sektor paling pesat seperti teknologi, sains hayat, pembuatan termaju dan pertahanan,” menurut kenyataan kerajaan.
Menurut laporan akhbar The Times, Reeves juga dijangka mengumumkan suntikan dana sehingga 30 bilion pound untuk Perkhidmatan Kesihatan Kebangsaan (NHS) yang kini berada di bawah tekanan, ketika beliau membentangkan tinjauan menyeluruh kerajaan terhadap perbelanjaan awam UK pada Rabu ini.
Pelaburan 86 bilion pound itu akan menumpukan kepada ‘keutamaan rakyat: kesihatan, keselamatan dan ekonomi,’ tambah kerajaan dalam kenyataan tersebut.
Pelan pelaburan itu juga akan membolehkan pembangunan kluster inovasi di seluruh UK dan memberi kuasa kepada pemimpin kerajaan tempatan untuk menentukan hala tuju peruntukan mereka. Reeves berharap perbelanjaan itu akan membantu merangsang pertumbuhan ekonomi UK, yang turut berdepan kesan daripada perang perdagangan yang dilancarkan oleh Presiden AS. – AFP


