Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    UK lancar perkhidmatan bas tanpa pemandu

    QUEENSFERRY, UNITED KINGDOM, 12 MEI – United Kingdom (UK) akan melancarkan rangkaian bas tanpa pemandu pertamanya di Scotland minggu depan dengan pemandu bersiap sedia di belakang stereng, untuk mengawal kenderaan sekiranya berlaku kecemasan.

    Perkhidmatan itu, yang menyasarkan membawa 10,000 penumpang seminggu melalui laluan 22.5 kilometer dengan lima bas satu dek, akan menjadi perkhidmatan bas tempatan automatik pertama di dunia, menurut operatornya.

    “Teknologi autonomi pada bas ini telah diuji sebelumnya tetapi ini adalah kali pertama ia diletakkan pada bas yang kini menjadi perkhidmatan bas tempatan berdaftar,” Peter Stevens, Pengarah Dasar Perkhidmatan Bas Stagecoach, memberitahu AFP selepas demonstrasi berhampiran Edinburgh.

    Mulai Isnin, bas itu, yang akan bergerak sehingga 50 batu sejam, akan mempunyai pemandu keselamatan untuk memantau teknologi, seperti yang diwajibkan undang-undang UK, yang belum membenarkan kenderaan autonomi sepenuhnya.

    Pemandu tidak menyentuh kawalan semasa kenderaan berada dalam mod autonomi, dan konduktor di dalam bas mengendalikan pertanyaan tiket dan penumpang.

    Sistem dalam bas akan mengesan pengguna jalan raya lain untuk mengelak pelanggaran, manakala kamera optik dan radar akan mengimbas jalan untuk memeriksa pejalan kaki.

    Sistem kawalan termasuk enjin kecerdasan buatan yang menerima maklumat dari seluruh bas untuk menentukan lokasi tepatnya dan mengira laluan paling selamat ke destinasinya.

    Stevens berkata perkhidmatan itu akan menjadi lebih selamat, lebih menjimatkan bahan api dan akan menawarkan pengalaman yang lebih baik untuk pelanggan. – AFP

    Sebuah bas yang akan digunakan untuk perkhidmatan bas autonomi CAVForth, ABI, semasa previu media di Queensferry, Scotland pada 11 Mei 2023. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda