LONDON, 26 SEPT – Perdana Menteri United Kingdom (UK), Keir Starmer hari ini mengumumkan rancangan untuk memperkenalkan ID digital percuma bagi warganegara serta mereka yang menetap di negara itu sebagai usaha membendung migrasi haram.
Kerajaan negara itu berkata inisiatif itu akan memudahkan permohonan perkhidmatan seperti lesen memandu, penjagaan kanak-kanak dan kebajikan serta melancarkan akses kepada rekod percukaian.
Menurut kerajaan, ID digital baharu tersebut hanya perlu disimpan dalam telefon bimbit dan tidak perlu dibawa atau ditunjukkan secara fizikal.
Bagaimanapun, ia akan ‘diwajibkan sebagai bukti hak untuk bekerja.
“Inisiatif itu akan menghalang mereka yang tiada hak tinggal di sini daripada mendapat pekerjaan, sekali gus mengehadkan peluang mereka menjana pendapatan, salah satu faktor utama ‘tarikan’ bagi individu yang datang ke UK secara haram,” tambah kenyataan itu.
Pengumuman tersebut dibuat ketika Parti Buruh, parti pemerintah, bersiap untuk mengadakan persidangan tahunan mereka, dengan Starmer berdepan tekanan hebat, terutamanya berhubung isu migrasi.
UK secara umumnya menolak konsep kad pengenalan serta tidak memiliki daftar pusat sivil atau kewajipan pengenalan di tempat awam.
Pada 2011, kerajaan pimpinan Parti Konservatif turut memansuhkan undang-undang semasa kerajaan Tony Blair yang mewujudkan kad pengenalan serta pangkalan data penduduk.
Selain itu, seramai 575,000 telah menandatangi petisyen agar skim tersebut tidak diperkenalkan, namun tinjauan terkini menunjukkan majoriti rakyat menyokong langkah tersebut. – AFP


