Thursday, September 19, 2024
34.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    UK mula guna dron hantar sampel darah

    LONDON, 17 SEPT – Sampel darah penting yang diambil daripada pesakit akan dihantar untuk ujian menggunakan dron bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas di London dalam satu inisiatif pertama di United Kingdom (UK), kata sebuah hospital di ibu negara Britain, hari ini.

    Percubaan enam bulan yang dijangka bermula pada minggu-minggu akan datang akan menghantar sampel darah dari Hospital Guy di selatan London ke makmal melalui dron, mengurangkan masa pengangkutan daripada lebih 30 minit kepada kurang daripada dua minit, menurut penyelidik projek.

    Projek perintis itu akan membantu ‘meningkatkan keputusan pesakit dan memberikan manfaat alam sekitar yang signifikan,’ menurut Sophie O’Sullivan, pengarah penerbangan masa hadapan di badan pemantau Pihak Berkuasa Penerbangan Awam, yang mengawasi ujian tersebut.

    Ujian bulan lalu mendapati bahawa penghantaran menggunakan dron tidak merosakkan kualiti darah.

    Projek perintis penghantaran sampel darah itu akan dijalankan bersama syarikat logistik kesihatan Apian dan syarikat penghantaran dron Wing.

    Apian juga merupakan sebahagian daripada program Perkhidmatan Kesihatan Kebangsaan (NHS) yang menghantar bekalan perubatan kritikal ke hospital menggunakan dron, serta satu ujian berasingan di ibu negara Ireland, Dublin.

    “Dron boleh meningkatkan ciri-ciri responsif dan kedayatahanan logistik penjagaan kesihatan, membolehkan pengamal perubatan menjadi lebih produktif dan pesakit mendapat rawatan yang diperlukan dengan lebih cepat,” kata Hammad Jeilani, pengasas bersama Apian.

    Ujian tersebut berpotensi membuka jalan untuk penggunaan penghantaran dron secara meluas oleh hospital-hospital di London.

    Dron telah digunakan untuk menghantar sampel darah selama bertahun-tahun ke kawasan terpencil di Rwanda, dengan ujian serupa dijalankan di pelbagai negara termasuk Kanada dan India. – AFP

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda